Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Elak pendakwaan selektif SPRM, pesan Pemuda PAS WP
Diterbitkan:  Aug 15, 2016 7:03 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengalu-alukan ketegasan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru Datuk Dzulkifli Ahmad untuk menentang rasuah.

Dewan itu bagaimanapun berharap ia dilakukan secara konsisten, berani, tegas serta mengetepikan pendakwaan terpilih.

“Tawaran yang dikemukakan oleh ketua pengarah SPRM juga boleh diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara supaya lebih banyak skandal rasuah dapat diselesaikan setiap tahun,” kata ketuanya Khairil Nizam Khirudin.

Dzulkifli, 48, semalam memberi amaran supaya amalan rasuah dan salah guna kuasa dihentikan atau bersedia berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.

SPRM juga membuka ruang kepada pelaku rasuah untuk 'menyerah diri' secara sukarela bagi memungkinkan hukuman lebih ringan dipertimbangkan.

Dzulkifli, yang mengambil alih jawatan itu menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed bermula 1 Ogos lepas, juga menyifatkan suruhanjaya itu tidak akan 'pilih bulu' dalam tugas.

Harus selesai 95% kes

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Dzulkifli berkata SPRM harus komited menyasarkan penyelesaian kes rasuah melebihi 95 peratus setiap tahun.

“Ia harus menjadi indikator baru kepada ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa badan itu berhadapan tugas berat untuk memulihkan semula kredibiliti SPRM susulan perkembangan beberapa kes terkenal.

“Siasatan SPRM terhadap SRC International, derma RM 2.6 bilion dan secara tidak langsung terhadap kes 1MDB telah menjejaskan reputasinya sebagai badan bebas kerana ia seolah-olah dibayangi campur tangan politik yang keterlaluan,” katanya.

Khairil Nizam juga berkata rombakan besar-besaran SPRM menimbulkan persepsi-persepsi baru.

Lihat Komen
ADS