Malaysiakini
BERITA

JMM laung ‘Muhyiddin Petualang’ di kompleks mahkamah

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Ogs 2016, 6:56 pagi

Kira-kira 25 orang ahli NGO, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di ibu negara bagi membidas bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat.

Pada mulanya mereka berkumpul di luar kompleks mahkamah, tetapi kemudiannya dibenarkan masuk oleh pihak keselamatan atas alasan untuk menghadiri prosiding perceraian yang membabitkan seorang peguam dan bekas DPP kanan Stanley Augustine dan Nika Gee Siew Yee.

Berbekalkan pembesar suara, penunjuk perasaan itu menjerit ‘Muhyiddin Petualang’.

Antara penunjuk perasaan itu, termasuk bekas presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju.

Kumpulan itu kemudiannya menduduki tangga di lobi mahkamah di lobi sambil melaungan kata-kata provokasi yang membidas Muhyiddin.

Mereka mendakwa timbalan perdana menteri yang dipecat itu adalah seorang penipu dan menuduhnya tidak bersedia untuk menjelaskan dakwaan hubungan sulitnya dengan seorang wanita yang sudah berkahwin.

Pada kira-kira jam 11 pagi, polis berpakaian biasa dan beruniform mengarahkan semua penunjuk perasaan supaya bersurai tetapi mereka mengingkari arahan berkenaan.

Akibatnya, polis mula menahan mereka dan membawa mereka dengan sebuah trak polis hitam dan van putih polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy, berkata semua ahli pertubuhan tersebut akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut.

Beliau juga mengesahkan penahanan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Mereka telah diberi amaran secukupnya, kita telah tiga kali minta mereka untuk bersurai dan tidak mengganggu prosiding mahkamah," katanya.

Ali bukan antara kira-kira 10 orang yang ditahan itu kerana telah meninggalkan premis mahkamah.

Sementara itu, di dalam kamar mahkamah tinggi, hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menetapkan tarikh 6 September ini untuk pengurusan kes petisyen perceraian yang difailkan oleh peguam, Stanley Clement Agustin terhadap isterinya, Nika Gee Siew Yee yang dikaitkan dengan Muhyiddin.

Tarikh tersebut ditetapkan selepas hakim bertemu dengan pihak-pihak terlibat.

Hari ini juga ditetapkan untuk pelantikan peguam baru bagi pihak Gee selepas peguam terdahulu menarik diri.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.