Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengarang Utusan sahkan ‘AIDS’ serang Musa

ULASAN l Sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu yang rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam masa itu saya melihat kebenaran dakwaannya menjadi korban kepercayaan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tuduhan palsu yang dibuat terhadapnya oleh ‘AIDS’ mengatakan beliau hendak menjatuhkan Mahathir sebagai perdana menteri.

Atas tuduhan inilah beliau meletakkan jawatan pada tahun 1986 setelah Mahathir sendiri dengan kejam mengesahkan kepadanya

‘AIDS’ adalah singkatan nama kepada tiga pemimpin yang masing-masing mempunyai cita-cita tersendiri dalam mendekati Mahathir iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Sanusi Junid.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri Musa mengadakan pertemuan mingguan dengan para pengarang akhbar setiap minggu untuk melaporkan perkembangan terkini tanahair dan seorang yang selalunya pulang cepat tanpa menghormati kedudukan TPM ialah ialah Datuk Ahmad Sebi Bakar, pengarang Berita Harian yang dipercayai menyampaikan pula kepada Daim dan Anwar.

Dalam pertemuan mingguan itu, Musa secara berseloroh sering merujuk kepada Mahathir sebagai "bomoh" dan yang tahu hanyalah kami sahaja termasuk Ahmad Sebi. Ini tidak menyenangkan Mahathir.

Orang luar Umno

Tidaklah boleh dinafikan penyertaan dua orang luar ke dalam Umno atas jemputan Mahathir iaitu Daim dan Anwar telah menggelapkan masa depan Musa dan juga Tengku Razaleigh kerana banyak tugas penting dan projek besar diserahkan kepada mereka.

Mahathir mempercayai Musa mahu menjatuhkannya dan beliau membunuh harapan Musa ini pada pandangan umum dengan mengarahkan pegawainya supaya akhbar-akhbar tidak menggunakan rujukan 2M yang menampakkan gandingan rapat dan serasi Musa-Mahahtir.

Yang tersembunyi di sebalik gerakan senyap ini ialah cita-cita Anwar dan Sanusi untuk menjadi perdana menteri dan Daim sebagai ‘king maker’ yang tersembunyi.

Selain dari Anwar dan Daim yang melihat saya di Utusan sebagai penghalang kepada kelicinan gerakan senyap mereka ialah Sanusi yang mengadu kepada Mahathir bahawa saya mengenepikan berita-beritanya malah memotong gambarnya jika beliau di samping Mahathir.

Bagaimanapun selepas kekalahan Team B, Sanusi sedar bahawa beliau juga mahu diketepikan dalam perlumbaan untuk menjadi perdana menteri dan Anwar dan Daim menjadi semakin rapat.

Sanusi memanggil saya makan malam bersamanya di sebuah hotel dan dia memberiahu saya bahawa "Saya pun tidak seteruk Berita Harian memburukannya " dan katanya lagi "You jangan bimbang"

Saya beritahunya "saya tidak pernah bimbang kerana kedudukan saya sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu bukanlah atas kehendak saya dan sesuatu yang tidak pernah saya perjuangkan".

Akhirnya Sanusi berjaya diketepikan juga oleh Anwar apabila Mahathir bersetuju menghantarnya menjadi Menteri Besar Kedah.

Siapa Anwar?

Dalam gelombang politik ini saya dianggap orang-orang politik keliling Mahathir sebagai orang Musa. Mahathir sendiri mulai menunjukan rasa tidak senang dengan saya sehinggalah beliau mengetahui siapa Anwar sebenarnya.

Anwar tidak senang dengan saya kerana saya tidak mahu menyertai media troopernya yang diketuai oleh Ahmad Sebi dari Berita Harian dan Daim mungkin kerana saya mendedahkan beberapa kerakusannya dalam perniagaan.

Sebaliknya saya amat senang dengan Daim kerana simpliciti dan dari awal mengetahui dia adalah seorang sosialis yang rapat dengan pemimpin Parti Sosialis Rakyat Malaya, Syed Hussin Ali, Tokoh Sasterawan Usman Awang dan lain-lain tetapi saya tidak sangka sama sekali beliau sebenarnya seorang kapitalis yang rakus dan tamak.

Pemindahan kuasa secara licin mungkin berlaku tanpa menggugat kerharmonian dan tradisi Umno sekiranya Mahathir tidak membawa masuk Anwar dan Daim ke dalam Umno tetapi bagi Mahathir jika dia tidak memerangkap Anwar maka PAS akan menggantikan Umno sebagai kerajaan.

Dan jika Daim tidak ambil maka tidak akan berlaku perubahan yang berani, cepat, dinamik dan radikal dalam pengurusan kewangan negara dan dalam pembangunan Melayu di bidang perusahaan dan perdagangan negara.


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN adalah bekas Menter Penerangan dan Tokoh Wartawan Negara serta bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu. Tulisan ini pertama kali dinaikkan di blognya, Zamkata.

Lihat Komen
ADS