Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu
siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki yang bergelar 'Datuk Seri' itu selama tujuh hari sehingga 22 Ogos.

Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili lelaki berumur 54 tahun itu memberitahu media anak guamnya itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 23, Akta SPRM 2009 bagi kesalahan rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau berkata anak guamnya itu ditahan di pejabat di bangunan DBKL pada 3.07 petang, semalam.

"Rumahnya digeledah, sebuah kereta BMW dirampas, semua dokumen juga dirampas di pejabat dan di rumahnya," katanya.

Lelaki itu ditahan sesulan operasi SPRM yang diadakan serentak semalam di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Operasi itu dibuat selaras dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad, kepada Bernama baru-baru ini yang mahu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

-Bernama

Lihat Komen
ADS