Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kami masih tak puas hati, kata pemandu teksi kepada SPAD

Persatuan pemandu teksi hari ini masih tidak berpuas hati dengan transformasi berhubung 'penambah baikan' teksi yang dicadangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Selepas taklimat dan pembentangan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) selama kira-kira dua jam di Bukit Kiara, kesemua pemandu teksi masih lagi tidak bersetuju dengan transformasi berkenaan kerana dianggap cuba 'membunuh' industri teksi negara.

Bagi Penasihat Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail, beliau berpendapat segala cadangan yang diusulkan SPAD adalah untuk memastikan sistem Uber dan Grabcar bertambah baik dan bukan industri teksi negara.

Malah, beliau juga menggesa kerajaan supaya tidak membenarkan pelaksanaan Uber dan Grabcar dalam masa terdekat.

Selain itu, Shamsubahrin turut mengecam tindakan kerajaan yang membenarkan semua jenama dan model digunakan sebagai teksi.

"Transformasi ini bukan mengenai teksi. Apa yang saya baca di dalam sana (taklimat) adalah untuk menambah baikkan Grabcar dan Uber, bukan teksi.

"Nak menjadikan kereta biasa sebagai teksi, mana ukuran dan kualiti sebagai pemandu teksi tempatan?

"Apa yang penting sekarang ialah menangguhkan dulu Uber, bukan sekarang (untuk membenarkannya)," katanya ketika ditemui pemberita.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah diberi oleh pihaknya untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan mengenai masalah sebenar yang melanda pemandu teksi.

"Saya dah beri surat pada (Datuk Seri) Najib hari ini untuk bertemu dengannya bagi bincangkan masalah sebenar yang berlaku dan apakah transformasi yang patut kerajaan lakukan," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin pula berkata, beliau mengharapkan pihak kerajaan supaya bertegas dengan Uber dan Grabcar yang didakwa beroperasi secara haram.

Katanya, apa yang dilakukan oleh pemandu Uber dan Grabcar menyalahi undang-undang kerana ia belum dikuat kuasakan.

"Apa yang kita mahukan ialah undang-undang tidak disalah gunakan oleh Uber dan Grabcar ini.

"Mereka tak ada lesen dan beroperasi secara haram, kita minta supaya kerajaan haramkan sehingga undang-undang berkaitan telah digubah oleh Peguam Negara dan Parlimen.

"SPAD patut melindungi industri pengangkutan awam dan keselamatan orang ramai," katanya.

Bagi seorang lagi pemandu teksi, Apriman Dalias, beliau tidak bersetuju dengan cadangan supaya membenarkan semua model kereta diguna sebagai teksi.

Katanya, perkara itu akan menyebabkan kekeliruan di kalangan pengguna kerana terdapat 'pelbagai' teksi tanpa ada spesifikasi.

"Kecelaruan akan berlaku dalam industri perkhidmatan awam. Kita nak SPAD ambil inisiatif lebih telus dan kaji sedalamnya kesan buruk baik dalam perkhidmatan awam sekiranya membenarkannya," katanya.

Sementara itu, tiada sebarang protes yang berlaku sepanjang taklimat dan pembentangan program Transformasi Industri Teksi (TITP) oleh SPAD bersama pemandu teksi di Sime Darby Convention Center.

Bagaimanapun pihak polis serta penguatkuasa SPAD dilihat berada di perkarangan kawasan tersebut sebagai mengambil langkah berjaga-jaga.

Lihat Komen
ADS