Sekali pandang kelihatan seperti sebuah makmal kimia.
Bagaimanapun, peralatan ditemui polis di situ bukan setakat silinder penyukat dan balang kaca di atas meja.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman SAC Kang Chez Chiang berkata, polis membongkar makmal memproses dadah di Ampang, Selangor dan berjaya merampas pelbagai jenis dadah.
Ia, katanya berupa 9.3kg syabu, 63 liter cecair syabu dan 15kg ephedrine. Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM2.4 juta.
Selain itu, seramai 13 anggota sindiket dadah termasuk seorang ahli kimia warga tempatan berjaya ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang oleh JSJN bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) pada 13 Ogos lalu.
"Turut berjaya merampas pelbagai bahan kimia dan perkakasan memproses dadah serta sepucuk pistol milik ahli sindiket dadah terbabit,” terang beliau dalam sidang media di ibu pejabat polis di ibu negara, pagi tadi.
"Pihak polis juga turut merampas sejumlah wang tunai termasuk mata wang asing, jam tangan, pelbagai barangan kemas dan lapan buah kenderaan bernilai RM553,970 milik anggota sindiket.
“Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos 2016 bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya seperti dilaporkan Facebook rasmi polis.
Dua lagi individu kini dikehendaki pihak polis bagi membantu siasatan.
