Malaysiakini BERITA

Tangkap MO1 macam tangkap Pokemon, seru Isham Rais

Kow Gah Chie  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Rakyat Malaysia diminta menyertai perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos supaya mereka boleh menangkap Malaysian Official 1 (MO1) seperti menangkap Pokemon.

"Saya ingin bertanya, bagaimana kita tangkap MO1, kerana Malaysian official 1 masih belum diketahui," kata aktivis sosial Hishamuddin Rais.

"Jadi saya nak tanya anak-anak muda, dapatkah kita tangkap MO1 pada petang itu? Kerana itu saya menyeru seluruh rakyat Malaysia datang beramai-ramai, kita tangkap dia (MO1) macam kita tangkap Pokemon," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan bersama BERSIH dan sembilan NGO lain.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel turut bersetuju dengan Hishamuddin dan secara berseloroh berkata MO1 mungkin adalah Pokemon paling
sukar ditangkap.

Sidang akhbar itu diadakan oleh NGO-NGO berkenaan untuk menyatakan hasrat mereka menyokong perhimpunan #TangkapMO1 oleh kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Anak Muda.

NGO lain ialah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), C4, Pusat Komas, Lawyers for Liberty (LFL), Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Persatuan Peguam Wanita, Sister in Islam (SIS), Empower dan Ikram Malaysia.

Kumpulan itu menggesa polis memudahkan Gerakan Anak Muda yang membincangkan aturcara protes dengan pihak berkuasa hari ini.

Mereka juga berjanji untuk menyediakan sokongan undang-undang kepada peserta yang menyertai perhimpunan berkenaan.

"Kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin untuk semua rakyat Malaysia di bawah perlembagaan persekutuan. Hak ini boleh digunakan untuk semua rakyat Malaysia, termasuk belia dan pelajar.

"Untuk tujuan ini, kami menyeru kepada Polis Diraja Malaysia memberikan kerjasama sepenuhnya dan membenarkan perhimpunan itu berlangsung secara aman," kata 10 NGO itu dalam satu kenyataan media bersama yang dibacakan pada sidang akhbar tersebut.

Kumpulan itu turut mengecam penahanan aktivis pelajar Ariffin Amin oleh polis bantuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini kerana menganjurkan taklimat mengenai isu-isu 1MDB dan MO1.

[Baca berita penuh]