Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terima kasih MB walau dulu tak bantu pun
Diterbitkan:  Aug 17, 2016 4:23 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Di sebalik kejayaannya meraih pingat gangsa di temasya Olimpik Rio de Janeiro awal pagi tadi, pelumba basikal negara Azizulhasni Awang masih 'menyimpan rasa' terhadap kerajaan Terengganu.

Dalam tulisan penghargaan di Facebooknya hari ini, raja keirin Asia itu meluahkan rasa 'terima kasih' khas untuk Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

"Saya dan Fatehah (Mustapa) masih ingin mengucapkan terima kasih walaupun MB (menteri besar) tidak berkenan untuk membantu saya dan Fatehah, dua anak jati Negeri Terengganu yang berjuang di peringkat dunia dan Olimpik ini.

"Terima kasih kerana tidak sudi membelikan sebuah basikal RoadBike untuk kegunaan kami dalam persiapan sukan Olimpik walaupun sudah dihantar proposal (cadangan) lebih kurang setahun sebelum Olimpik Rio," katanya.

Azizulhasni meraih gangsa dalam saingan akhir kategori keirin di Veledrom Olimpik, awal pagi tadi.

Azizulhasni juga mengucapkan terima kasih kepada Ahmad kerana tidak memberikan maklum balas, malah membisu apabila pengurusnya menghubungi menteri besar itu suatu ketika dulu.

"Untuk pengetahuan MB, saya dan Fatehah atlet bertaraf dunia dan Olimpik ini sentiasa terlepas pandang oleh MB. Mungkin ia adalah kerana faktor yang kami berlatih di luar negara.

"Diharap MB dapat mengambil semua ini sebagai suatu yang positif dan diharap semua ini akan membuka mata MB dan orang-orang yang sepatutnya memainkan peranan.

"Walau apa jua yang berlaku, kami tetap bangga menjadi anak jati negeri Terengganu dan kami Ganu Sokmo Bohh," katanya dalam tulisan panjang lebar itu.

Doa semua jadi senjata

Fatehah adalah seorang lagi atlet berbasikal yang diharap dapat melakukan sesuatu di temasya Olimpik kali ini. Seperti Azizulhasni, Fatehah, 27, juga anak Terengganu.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila terkandas dalam acara pecut wanita pada Ahad lalu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut mengulas isu itu secara ringkas di Twitter selepas berdepan soalan pengguna Internet.

“Mungkin dia nak rasa sikit from home state. Road bike tu bukan yang diguna dalam trek,” tulisnya.

Beliau ditanya pengguna Twitter Yasir Tamizi berkatian tanggungjawab kerajaan dalam pembangunan sukan negara dan negeri.

“Beli basikal untuk pengayuh, termasukkah (tanggungjawab itu)?” soalnya.

Dalam tulisan panjang lebar itu, Azizulhasni turut berterima kasih kepada penyokong dan keluarga yang mendoakan kejayaannya.

"Tidak kira apa jua bangsa dan agama, Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan bumiputera, terima kasih atas sokongan jitu anda semua dan sentiasa mendoakan kejayaan saya.

"Sesungguhnya doa dari anda semua adalah senjata buat saya," katanya.

Selain itu beliau tidak lupa menitipkan terima kasih kepada ibu bapanya di kampung yang sentiasa memberi sokongan penuh dan sentiasa mendoakan dalam apa jua yang dilakukan dan merestui pilihan jalan hidupnya.

"Ribuan maaf dari anakanda kerana tidak dapat berada di sisi selalu dan tidak dapat menjaga makan minum ayah dan mak. Apa yang dapat dilakukan oleh anakanda adalah berdoa kepada Allah Yang Maha Esa supaya sentiasa menjaga dan melindungi ayah dan mak di kampung.

"Tidak lupa juga adik-beradik dan seluruh ahli keluarga sama ada yang dekat mahu pun jauh, terima kasih kerana sentisa berdiri di belakang saya ketika saya jatuh mahupun berdiri. Moga Allah merahmati anda semua," ujar anak kelahiran Dungun itu.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada Ahmad Razif berhubung kenyataan dibuat Azizulhasni.

Lihat Komen
ADS