Pihak berkuasa Malaysia perlu segera menyiasat dakwaan bahawa ada tahanan diseksa sehingga mati di pusat tahanan imigresen Juru, kata Amnesty International Malaysia.
Ini selepas seorang tahanan yang ditahan di sana memberitahu The Cambodia Daily mereka melihat tahanan yang lain dipukul sehingga mati di kem itu di Pulau Pinang.
"Ini adalah tuduhan yang serius dan pihak berkuasa perlu memulakan siasatan segera, terutamanya apabila ini bukan kali pertama dakwaan penyeksaan dan kematian dalam tahanan dibuat," kata Pengarah Eksekutif AI Malaysia, Shamini Darshni Kaliemuthu.
Tahanan Kemboja mendakwa terdapat tujuh kematian di kem itu ketika berada di sana.
Beliau berkata, tiga daripada mereka yang meninggal dunia - dua rakyat Kemboja dan Vietnam - sebelum itu berulang kali ditendang dan ditumbuk.
Kedutaan Kemboja di Kuala Lumpur sedang menyiasat perkara itu, kata Cambodia Daily.
Malaysiakini sedang menghubungi kedutaan Kemboja dan jabatan imigresen untuk mendapatkan komen.
"Penderaan tidak boleh dibenarkan. Ia adalah keganasan kejam dan disasarkan kepada orang lain dan tidak tergolong dalam masyarakat bertamadun.
"Membenarkan penyeksaan diguna pakai menunjukkan kegagalan politik untuk mencegah jenayah ini daripada berterusan," kata Shamini.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa melihat keadadaan dalam pusat tahanan Juru, seperti juga lokap dan penjara.
Selama bertahun-tahun keadaan di kem itu tidak menepati peraturan minimum yang ditetapkan PBB bagi layanan dalam tahanan.
Beliau berkata penyeksaan di kem Juru bukanlah merupakan pendedahan pertama.
Tahun lepas, kumpulan hak asasi manusia Suaram berkata 14 individu yang ditahan di sana di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) telah diseksa.
Oleh itu, agensi-agensi seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan juga perlu menyiasat perkara itu, katanya.
Beliau juga menggesa Malaysia mengesahkan Konvensyen Menentang Penyeksaan oleh PBB supaya perlindungan boleh dilaksanakan untuk memastikan kejadian itu tidak berlaku lagi.
"Penderaan mesti dihentikan," katanya.
