Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Pemuda PAS menyifatkan kenyataan Ketua Penolong Pengarah Antikeganasan Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mencadangkan pemantauan terhadap penggunaan pendapat ulama Ibn Taimiyyah sebagai "wajar".

Naib ketuanya Khairil Nizam Khairuddin berkata mereka berpendapat kemungkinan besar pada ketika ini polis berasakan wujud penyelewengan pandangan tokoh agama berkenaan untuk aktiviti keganasan.

“Kita kena baca kenyataan beliau dalam konteks sepenuhnya, mungkin dalam maklumat yang diperolehi Ibn Taimiyah ini pencetus kepada masalah tersebut.

"Pendapat Ibn Taimiyah adalah wajar dalam konteks kehidupan beliau pada waktu (zaman) itu namun ia mungkin diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu untuk membenarkan (menghalalkan) aktiviti keganasan," katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur sebentar tadi.

Terdahulu Khairil mengetuai delegasi Pemuda PAS mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan Timbalan Ketua Polis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali.

Mereka turut menyerahkan memorandum Isu Ancaman Keganasan, Jenayah Keganasan dan Kewibawaan Polis kepada Abdul Hamid.

Baru-baru ini Ayob dilaporkan meminta pihak penguasa agama memantau agamawan dan ahli akademik yang kerap memetik pendapat Ibn Taimiyyah dalam ceramah atau penerbitan mereka.

Kata Ayob, berdasarkan pengakuan dan bahan propaganda, terdapat kerana banyak fatwa ulama tersebut diselewengkan IS untuk mewajarkan tindakan ganas mereka.

Menurut Ayob IS antaranya melabelkan pandangan golongan asya'irah dan maturidiyyah yang menjadi asas pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai syirik, murtad dan tergolong sebagai ahli neraka.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak mengatakan Ibn Taimiyyah itu sesat.

Pandangan itu bagaimanapun ditolak Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tampil menempelak Ayob kerana didakwa “memfitnah” Ibn Taimiyyah.

Katanya, seseorang anggota polis tidak patut melibatkan diri dalam pertembungan aliran pemikiran dalam Islam.

Malah, pandangan yang sama turut dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang menolak kaitan ulama itu dengan pendekatan ekstrem kerana tulisannya menjadi rujukan di pelbagai universiti dunia.

Bagaimanapun, Pertubuhan Ahli Sunnah Asya'irah Wilayah Utara (PENAWAR) berkata orang ramai patut mengkaji pemikiran IS dan bukan “tunjuk pandai” terhadap pasukan polis.

Lihat Komen
ADS