Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi akan mohon ketepi keputusan kes berkaitan Kristian
Diterbitkan:  Aug 19, 2016 12:44 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memfailkan permohonan mahkamah bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada seorang peguam Sabah ekoran kenyataan negatif terhadap agama Kristian.

Peguam Hamid Ismail yang mewakili Abdul Hadi berkata, anak guamnya tidak menerima writ saman dan tidak tahu bahawa beliau perlu menghadirkan diri ke mahkamah.

Oleh kerana kegagalan anggota parlimen Marang itu untuk hadir ke mahkamah, Abdul Hadi dikenakan penghakiman ingkar.

"Saya akan mengisi permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar dalam masa had 30 hari.

"Jika beliau telah menerima saman itu, beliau mesti memfailkan memorandum kehadiran tetapi kerana tidak menerimanya, tidak ada apa-apa untuk difailkan," kata Hamid dipetik sebagai berkata dalam Malay Mail Online.

Mahkamah Sesyen pada 12 Ogos mengarahkan Abdul Hadi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang untuk membayar peguam, Marcel Jude Joseph, 54, ganti rugi kerana mencampuri hak Perlembagaan plaintif untuk kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Marcel memohon penghakiman memandangkan Abdul Hadi tidak hadir ke mahkamah dan mahkamah kemudiannya mengeluarkan surat ketidakhadiran oleh defendan.

Saman daripada peguam Marcel diberikan kepada Abdul Hadi pada 19 Julai.

Marcel yang merupakan ahli Majlis Peguam Sabah dan menjadi anggota Sabah Catholic Lawyers Apostolate memfailkan saman terhadap Abdul Hadi kerana kenyataannya yang didakwa sebagai menyalahi undang-undang dan hak perlembagaan plaintif untuk kebebasan beragama.

Saman itu berdasarkan artikel yang diterbitkan semula oleh portal Free Malaysia Today daripada artikel asal di Harakah bertajuk "Kristian ditolak oleh mereka yang berpendidikan, kata Hadi" yang memetik pemimpin PAS itu.

Marcel mendakwa defendan membuat kenyataan memfitnah pada perenggan pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam dalam artikel berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS