Yayasan Anti-Rasuah Malaysia (YARM) menyarankan satu idea yang menarik dalam perjuangan negara memerangi rasuah.
Pengerusinya, Datuk Seri Zakaria Jaffar, yang bersara daripada jawatan timbalan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas, menyarankan agar jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat swasta memasang cermin yang memaparkan mesej anti-rasuah.
"Kita melihat diri kita dalam cermin lebih daripada sekali sehari. Jadi mengapa tidak gunakan cermin dan letakkan mesej contohnya, 'Adakah anda membantu untuk menghalang perbuatan rasuah hari ini' atau mesej anti-rasuah yang lain.
"Saya cuba untuk menukar konsep orang memerhatikan orang lain dan tidak pada diri mereka (mata hati). Saya meminta masyarakat menggunakan cermin untuk melihat batin mereka dan juga berhenti menyalahkan orang lain dalam memerangi rasuah," katanya.
Zakaria berharap dengan kerjasama kerajaan dan sektor swasta, idea ini akan menjadi kenyataan.
"Ia tidak melibatkan banyak kos kerana cermin yang sedia ada boleh digunakan. Ia memerlukan seseorang untuk melihat ke dalam cermin dan berfikir sama ada dia boleh memainkan peranan untuk mencegah atau menghentikan rasuah," katanya.
Zakaria berkata statistik menunjukkan bahawa antara tahun 2013 dan 2015, sebanyak 55 peratus daripada mereka yang ditangkap kerana rasuah berumur 40 tahun ke bawah.
"Ini satu statistik yang agak membimbangkan dan memerlukan negara membasmi rasuah mulai dari usia yang sangat muda. Jika tidak, negara ini akan musnah," tegasnya.
Atas sebab ini, pengerusi YARM itu berkata pertubuhannya memberi tumpuan kepada menyebarkan mesej anti-rasuah bermula dari sekolah rendah.
"Kami cuba untuk memupuk integriti, tadbir urus yang baik dan nilai-nilai murni yang lain pada usia yang sangat muda," katanya.
Dengan berbuat demikian, Zakaria berharap amalan rasuah di negara ini dapat dikurangkan.
"Pada masa ini, kami mempunyai 4,000 anggota sukarelawan di seluruh negara dan untuk menjadi sukarelawan anda hanya perlu mengisi borang dalam talian di yarm.org.my.
"Orang ramai juga boleh memohon untuk menjadi ahli dan ada keahlian biasa atau korporat dan juga keahlian seumur hidup," katanya.
Zakaria berkata terdapat yuran tertentu untuk keahlian biasa, korporat dan keahlian seumur hidup.
Menurutnya, YARM yang bermula di Kuala Lumpur dan Selangor, telah berkembang ke semua negeri, dengan mempunyai presiden dan timbalan presiden masing-masing.
Zakaria berkata beliau atau wakil YARM bersedia untuk pergi ke mana-mana sahaja, termasuk majlis yang dianjurkan oleh parti politik, untuk berceramah.
Walaupun beliau hadir sebagai penceramah di majlis anjuran PAS pada awal bulan ini, Zakaria menafikan beliau akan menyertai politik.
Ucapannya bertukar menjadi kontroversi apabila beliau mendakwa di segi teknikal, skandal 1MDB bukan isu rasuah, tetapi satu isu penipuan dan pelaburan.
