Jumlah penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meningkat lebih tiga kali ganda sejak perkhidmatan kereta api eletrik atau ETS diperkenalkan pada Ogos 2010.
Ketua Unit Percutian & Pengurusan Acara KTMB, Mohd Noordin Kimi berkata jumlah penumpang pada hari-hari biasa mencapai 10,000 orang berbanding kira-kira 3,000 sahaja sebelum adanya ETS.
"Pada setiap hujung minggu dan musim perayaan, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTMB meningkat melebihi 13,000 orang.
"Dahulu kereta api dianggap pilihan terakhir tetapi dengan perkhidmatan dan infrastruktur bertaraf empat bintang yang disediakan sekarang, permintaan meningkat sangat ketara," katanya kepada pemberita di Arau hari ini.
Beliau ditemui di majlis Hari Kerjaya Kebangsaan: Train Ride & Kembara Kerjaya 2016 anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia dan KTMB di Stesen KTMB Arau. Program itu dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Mohd Noordin berkata perkhidmatan komuter Kuala Lumpur-Ipoh adalah yang paling ramai digunakan diikuti Butterworth-Padang Besar.
Beberapa perkhidmatan yang disediakan mendapat Sijil Halal seperti menu makanan di samping musolla dan bilik air yang cukup lengkap dan bersih membantu pembangunan industri pelancongan negara, katanya.
Menurutnya, mulai 15 Ogos lepas KTMB menambah perkhidmatan antara Gemas, Negeri Sembilan hingga ke Padang Besar di Perlis kepada 40 berbanding 36 kali sehari sebelum itu bagi memenuhi permintaan.
"KTMB juga berkolaborasi dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menjayakan program-program berteraskan pelancongan dengan mengadakan perkhidmatan khas," tambah beliau.
Mohd Noordin memberi jaminan perkhidmatan ETS dan komuter KTMB adalah selamat ciri-ciri keselamatan yang dilaksanakan dan sejak 1991 hingga sekarang belum ada penumpang yang terkorban akibat kemalangan.
Katanya mulai sekarang, orang ramai boleh membeli tiket untuk perjalanan sehingga Tahun Baharu Cina 2017 secara dalam talian, di kaunter KTMB atau ejen.
Mengenai pencerobohan kawasan rel KTMB, beliau berkata: "setiap orang bertanggungjawab mempastikan keselamatan mereka. KTMB telah menyediakan segala yang mungkin dan memenuhi piawaian untuk mengelak sebarang kecelakaan."
- Bernama
