Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PERKASA tiada niat mahu ambil alih BERJASA'
Diterbitkan:  Aug 20, 2016 6:45 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

Dalam reaksi segeranya, Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali menafikan mewakili NGO pro-Melayu itu untuk mengambil alih parti serpihan PAS yang dikenali Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan mengadakan pertemuan dengan Pemangku Pengerusi BERJASA, Datuk Seri Mustapa Kamal Maulut selain mencadangkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengambil alih parti tersebut.

"Saya tidak nafikan ada bertemu dgn Mustapa (Kamal Maulut) berbincang isu ambil alih parti.

"Saya berjumpa beliau tidak pernah sebut PERKASA nak ambil alih BERJASA. Saya jumpanya atas kapasiti peribadi, bukan atas tugasan rasmi PERKASA.

"Ya betul, saya ada cadangkan kepada (Tun) Mahathir dan (Tan Sri) Muhyidin (Yasin) untuk mengambil alih BERJASA tetapi kedua-dua tokoh itu tidak berminat nak ambil alih mana-mana parti dan hal itu selesai begitu sahaja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Hassan berkata demikian sebagai mengulas Mustapa Kamal yang mendakwa PERKASA sedang berikhtiar bersama pemberontak Umno yang berkait dengan Muhyiddin untuk mengambil alih BERJASA.

Urusan tersebut, pada mulanya, direstui oleh pengerusi BERJASA yang kemudiannya digantung daripada parti.

Bagaimanapun, rundingan menemui jalan buntu setelah Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) BERJASA menolak tawaran berkenaan dengan mendakwa ia tidak memenuhi kepentingan parti.

Ini disusuli dengan keputusan untuk menggantung pengerusinya dan merujuk beliau kepada jawatankuasa disiplin parti.

Mengulas lanjut, Syed Hassan berkata, PERKASA tidak berniat untuk menjadi sebuah parti politik dan tidak pernah merancang untuk mengambil alih mana-mana parti termasuk BERJASA.

"PERKASA tidak pernah arahkan saya berunding dengan Mustapa atau dengan mana-mana parti kerana PERKASA bukan mahu jadi parti politik.

"Dan PERKASA tidak pernah ada niat untuk ambil alih BERJASA atau mana-mana parti. PERKASA akan kekal sebagai NGO seperti ada sekarang," jelasnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS