Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sesebuah kerajaan yang baik ditandai oleh kesediaan mereka menerima kritikan rakyat dan berdepan dengan media tanpa sikap berat sebelah.

Aktivis media dari Aliansi Jurnalis Independen (AJI) Indonesia Ahmad Taufik Jufry berkata, perkara tersebut harus diamalkan sesiapa saja yang menjadi kerajaan, sama ada parti yang sedang berkuasa atau pihak pembangkang - jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pada pandangan Ahmad Taufik, jika pemerintah tidak boleh dikritik, ia bukan saja memberi kesan buruk kepada rakyat malah membawa masyarakat mundur jauh di belakang.

“Kritikan itu (boleh dibuat) pada sesiapa sahaja sama ada kerajaan, pembangkang atau rakyat. Contohnya, kalau rakyat buat perkara yang tidak baik, itu pun harus dikritik.

“Justeru isu kebebasan media bukan sekadar mengenai kepentingan media sendiri, tapi demi kepentingan bangsa. Jadi masa depan (negara) akan menjadi lebih baik,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini.

Ahmad Taufik, 50, faham benar apakah yang dimaksudkannya itu.

Berpengalaman 30 tahun dalam dunia kewartawanan dia pernah mengkritik keras presiden kedua Indonesia, Suharto melalui tulisannya di majalah mingguan Tempo pada 1995.

Ekoran ketajaman kata-katanya itu Ahmad Taufik dipenjara tiga tahun. Sepanjang tempoh itu dia berpindah-pindah tempat tahanan sebanyak lima kali.

Tiga penerbitan bercetak ketika itu - Tempo, Editor dan tabloid Detik - kemudian diharamkan pemerintah. Tidak lama kemudian lahirkan AJI Indonesia yang memperjuangkan hak serta kebebasan media di Indonesia.

Tiada penguasa patut sekat

Ketika ini Ahmad Taufik adalah sebahagian daripada anggota sidang pengarang majalah Tempo.

Ahmad Taufik bercerita mengenai kebebasan media sebagai mengulas soalan apakah pemerintah yang tidak boleh dikritik boleh mengundang bahaya kepada negara.

Pendapat beliau juga ditanya mengenai kemungkinan jika kerajaan atau parti pembangkang menyekat media di negara ini.

Mengulas lanjut Ahmad Taufik berkata pembangkang tidak seharusnya menyekat kebebasan media sekiranya parti itu memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti.

Katanya, sama ada kerajaan atau pembangkang semuanya perlu terbuka menerima kritikan dan tidak menyekat sesuatu laporan.

“Maksudnya kalau pembangkang juga bersikap seperti pemerintah yang antikebebasan, nanti apabila mereka menjadi pemerintah, kemungkinan besar mereka juga akan melakukan (sekatan) yang sama.

"Jadi pembangkang harus melawan sikap seperti ini,” katanya.

Ahmad Taufik turut mengingatkan media arus perdana di negara ini agar melaporkan sesuatu perkara itu dengan tepat dan tidak terpengaruh dengan pemilik mereka.

Katanya pemilik media biasanya ‘bijak bermain mata’ dengan pemerintah dan perkara itu perlu dijauhi oleh para wartawan.

Malah tambahnya menjadi 'dosa' untuk wartawan yang tidak melaporkan kebenaran kepada masyarakat jika mereka mengetahui perkara sebenar.

“Wartawan tahu kebenaran, tapi tak nyatakan pada masyarakat seolah-olah merelakan.

"Contohnya kita tahu orang mencuri tapi kita biarkan, kita akan turut berdosa. Bahaya kepada masyarakat. Nanti kesalahan itu akan terbiasa kerana media tidak melaporkannya," katanya.

Pada dasarnya kata Ahmad Taufik media arus perdana perlu menambah baik laporan mereka dari semasa ke semasa selain tidak terpengaruh dengan pemilik media.

"Pemilik media ini sangat bahaya apabila dia bermain mata dengan penguasa dan pengusaha dan itu yang perlu dilawan oleh rakan wartawan di lapangan,” katanya.

Menceritakan pengalamannya berdepan rejim Suharto Ahmad Taufik berkata perjuangan pertama selepas tamatnya era bekas jeneral tentera itu pada 1998 ialah membebaskan media.

Katanya ia diambil kerana sebelum zaman reformasi, golongan sepertinya telah ditekan oleh pemerintah.

Ahmad Taufik berkata, media di Malaysia perlulah lebih bebas supaya negara ini lebih demokrasi dan tidak terus ketinggalan.

“Ya, saya fikir perlu kebebasan media. Walau ada negatifnya tapi ia menjadi peluang positif untuk masyarakat dalam mengkritik pemerintah.

“Kalau media bebas, Demokrasi dapat, kesejahteraan dapat, yang merugikan (kalau media tak bebas) kalau rakyat Malaysia terus berdiam diri,” kata penulis buku Penjara Untold Stories itu.

Lihat Komen
ADS