Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
C4: Pengurusan projek lemah sebab kelewatan, bukan tender terbuka

Tender terbuka tidak menyebabkan kelewatan sesebuah projek, sebaliknya ia berlaku disebabkan pengurusan projek yang lemah, kata kumpulan antirasuah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) hari ini.

"Menepati tarikh akhir projek adalah sebahagian daripada pengesanan dan pengurusan projek. Di sini juga rasuah mesti diperiksa untuk mengurangkan kos berlebihan dan pembaziran," kata pengarah eksekutifnya, Cynthia Gabriel ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyatakan tender terbuka kadang kala boleh menyebabkan kerajaan kehilangan wang apabila pembida terendah menang kontrak tetapi gagal memenuhi tarikh akhir projek.

Ini katanya, akan menelan belanja lebih daripada bajet asal apabila projek itu perlu dikemukakan semula.

Bagaimanapun, Gabriel (gambar) menegaskan tender terbuka adalah bentuk pemberian kontrak paling adil dan telus bagi memastikan persaingan yang adil di kalangan pembida.

"Ia adalah bentuk yang paling adil dan paling telus bagi penganugerahan kontrak dan memastikan padang yang sama rata bagi para pembida.

"Tugas ini perlu diberikan kepada yang paling layak, bukan hanya berdasarkan harga tetapi juga pengalaman dan modal," katanya.

Berasa terkejut dengan kenyataan itu, beliau berkata, tender dan kontrak terbuka adalah penting sebagai inisiatif dasar awam untuk menewaskan rasuah.

Gabriel juga mengkritik kenyataan Adnan bahawa pengisytiharan aset boleh menyebabkan keluarganya menjadi sasaran penjenayah.

"Keselamatan tidak boleh digunakan sebagai alasan. Semua penjawat awam perlu hidup mengikut kemampuan mereka.

"Tidak akan ada krisis RM2.6 bilion jika terdapat satu sistem untuk mengisytiharkan aset," kata Gabriel.

Kenyataan Tengku Adnan mengenai pengisytiharan harta itu muncul selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga pegawai kanan kerajaan pada 16 Ogos lalu, termasuk pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar 'Datuk Seri'.

SPRM juga membekukan akaun bank tiga individu itu yang berjumlah RM13 juta dan merampas sebuah kondominium mewah, termasuk sebuah penthouse, banglo dan kereta mewah Maserati, BMW dan Audi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS