Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah: Presiden Isma salah terbit artikel menghasut

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman hari ini disabitkan bersalah kerana penerbitan artikel berbaur hasutan dalam laman web NGO itu dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Abdullah Zaik pada akhir kes pendakwaan.

"Pihak pembela gagal menimbulkan keraguan yang munasabah OKT (orang kena tuduh) didapati bersalah dan disabitkan bawah (pertuduhan alternatif) Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan," kata Noridah.

Mahkamah turut memerintahkan Abdullah Zaik membayar denda RM2,000 atau penjara dua tahun jika gagal membayar denda.

Beliau sebelum ini dibebas dan dilepas terhadap pertuduhan sama tetapi bawah seksyen berbeza, iaitu 4(1)(b), mengeluarkan kenyataan hasutan.

Dalam kes Seksyen 4(1)(c) hari ini, beliau dituduh menerbitkan artikel berjudul “Kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British satu bentuk pencerobohan” di www.ismaweb.net.

Manakala, Pegawai Pendakwaraya, Izwan Ariff Ibrahim berkata Abdullah Zaik perlu dikenakan hukuman bagi mengelakkan kes yang sama berulang

Sementara itu, Abdullah Zaik yang ditemui pemberita berkata beliau menerima keputusan tersebut dengan berlapang dada.

"Alhamdulillah, kita menerima keputusan itu," kata Abdullah Zaik.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas lanjut Abdullah Zaik berkata pihak akan memaklumkan tindakan susulan selepas berbincang dengan peguam bela beliau.

Lihat Komen
ADS