Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam yakin AMANAH mampu selamatkan Kelantan
Diterbitkan:  Sep 2, 2016 10:32 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Selepas menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) secara rasmi pada 31 Ogos lalu, Datuk Husam Musa melahirkan keyakinannya parti serpihan PAS itu mampu menyelmatkan Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, AMANAH mampu mentadbir kerajaan negeri itu walaupun berdepan dengan pertandingan tiga penjuru.

"Peluang AMANAH, insya-Allah baik dalam dua-dua keadaan (dua penjuru mahupun tiga penjuru).

“Umno telah terkunci dengan isu-isu yang menyebabkan rakyat rasa tertekan dan marah (seperti) kenaikan harga elektrik, barangan, GST, orang susah lagi susah...

“Dan PAS pun ada masalah. Performance, penyampaian, kepimpinan dan dedikasinya. Saya sifatkan sebagai goyang kaki,” katanya pada sidang media setibanya di lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, petang semalam.

Justeru, menurut bekas naib presiden PAS itu, rakyat dalam keadaan seumpama itu mengkehendaki satu pilihan.

“Tujuan AMANAH jika ditakdirkan (menang) ini untuk bertanding dalam tiga penjuru adalah untuk menyelamat Kelantan daripada jatuh ke tangan Umno,” katanya.

Perjuangan Tok Guru

Ditanya tentang PAS, beliau yang juga adalah ADUN Salor berkata parti itu mempunyai tiga pilihan.

"PAS boleh pilih untuk sertai Pakatan Harapan, sertai BN atau terus menyendiri seperti sekarang.

"Hanya opsyen bersama Pakatan Harapan akan membolehkan parti itu diterima rakyat, kalau mereka pilih opsyen lain, tentu rakyat akan tolak mereka," katanya.

Bagi Husam, dengan masalah yang dihadapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang dan kemunculan parti BERSATU oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau percaya lanskap politik negara akan berubah.

"Sekarang gerakan untuk mengalahkan Umno BN turut disertai Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Mukhriz dan Datuk Seri Shafei Afdal di Sabah.

"Ini bukan perkara kecil yang harus dipandang ringan oleh sesiapa," katanya.

Ditanya mengenai rancangannya untuk megembangkan AMANAH, Husam berkata parti baru itu berpotensi untuk diterima dengan meluas.

"Bagi orang PAS yang mahu mengikut perjuangan Tok Guru (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) mereka kena menyertai AMANAH kerana hanya AMANAH serupa dengan kehendak perjuangan Islam cara arwah Tok Guru.

"Bagi orang Umno pula mereka kini terbuka dan senang hati masuk AMANAH kerana parti ini tiada stigma tuduhan kafir yang dibuat oleh PAS dulu," katanya.

Lihat Komen
ADS