Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP serah 11,000 petisyen bantah kadar baru parkir KL

Beberapa anggota parlimen pembangkang hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan cas baru bayaran parkir di ibu kota yang disifatkan terlalu mahal.

Memorandum itu berserta 11,000 tanda tangan petisyen rakyat Malaysia yang dikumpul melalui laman atas talian.

“Sistem bayaran parkir ini mendatangkan banyak masalah kepada pengguna dan ia juga menyebabkan ramai pengguna terpaksa membayar lebih , berbanding dengan tempoh sebelum perlaksanaan sistem parkir baru tersebut,” kata anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng

Turut hadir Teresa Kok (Seputih), Tan Kok Wai (Cheras) dan Tan Kee Wong (Wangsa Maju).

Mereka menyerahkan memorandum itu kepada wakil DBKL kira-kira jam 10.50 pagi.

Lim berkata, pihaknya menerima aduan dari orang ramai antaranya mesin parkir itu hanya menerima duit syiling bagi bayaran selama satu jam dan pengguna tidak boleh menetapkannya melalui pecahan waktu.

“Pengguna yang ingin bayar parkir kereta untuk tempoh yang tidak cukup satu jam, misalnya satu jam 30 minit tidak dapat membuat bayaran melalui mesin parkir baru tersebut.

“Tetapi dia terpaksa bayar parkir untuk dua jam,” katanya.

Tambahnya lagi tempoh kutipan parkir terlalu lama iaitu bermula pada 7.30 pagi sehingga 6 petang adalah terlalu panjang.

“Selain itu, kutipan pada hari Sabtu adalah keterlaluan,” katanya.

DBKL meningkat kadar parkir kepada hampir 150 peratus di kawasan pusat perniagaan (CBD) mulai 8 Julai lalu.

Ia menjejaskan kawasan-kawasan seperti Bukit Bintang, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Bukit Damansara, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

Berikutan bantahan orang ramai, DBKL kemudiannya menyelaraskan kadar letak kereta mengikut jam di kawasan-kawasan berkenaan dari RM2 sejam kepada RM1.50 untuk jam yang pertama, dan RM3 kepada RM2.50 untuk jam kedua dan seterusnya.

Bagi kawasan di luar pusat bandar tetapi mempunyai tahap aktiviti tinggi seperti Sentul, Bangsar dan Brickfields, caj yang dikenakan untuk jam pertama dan seterusnya adalah RM1, manakala bagi kawasan di luar pusat bandar seperti Segambut, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak, kadar untuk jam pertama dan seterusnya adalah RM0.80.

Tahun lalu, DBKL telah melantik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), cabang kebajikan Kementerian Wilayah Persekutuan, untuk menguruskan sistem letak kereta di Kuala Lumpur.

Di bawah perjanjian itu, YWP akan membayar 35 peratus atau RM600,000 daripada pendapatan kasar kutipan letak kereta kepada DBKL setiap bulan.

Sementara itu Tan menyeru supaya Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor supaya menjawab semua soalan yang dibangkitkan dan menghentikan peningkatan harga parkir dan penswastaan parkir di Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS