ULASAN Saya berkongsi pendapat YAM Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Sekiranya rakyat diasingkan mengikut bangsa sejak dari bangku sekolah lagi, perpaduan nasional secara menyeluruh akan tinggal sekadar angan-angan.
Perpaduan bermula daripada kecil. Sifat perkauman juga bermula daripada kecil. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Memang betul ada ahli politik yang tidak bertanggungjawab yang sentiasa mencari jalan untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia.
Memang betul sekolah vernakular bukan satu-satunya alasan untuk perpecahan di Malaysia, tetapi retorik "pecah dan perintah" ini akan kekal relevan selagi anak muda dan pelajar pelajar diasingkan mengikut kaum dari bangku sekolah lagi.
Jika kita dididik dari awal untuk menerima konsep satu bangsa, pengasingan politik ini akan ditolak oleh generasi yang akan datang.
Kerabat diraja Johor telah seringkali membuktikan bahawa mereka merupakan penyokong tegar perpaduan nasional.
Sebagai contohnya:
(a) Sultan Johor bercemar duli, turut sama meraikan perayaan Chingay tanpa mempedulikan kritik, tohmahan dan halangan daripada beberapa institusi agama.
(b) Baginda sekeluarga sentiasa bertitah agar semua rakyat Johor bersatu tanpa mengira bangsa di bawah payung Bangsa Johor sebagai contoh teladan kepada kerajaan persekutuan
(c) Menggertak untuk menghukum mereka yang bersifat perkauman di Johor.
Ini semua menunjukkan bahawa mereka sememangnya berniat baik. Mereka tidak mempunyai niat tersirat untuk mengagungkan satu bangsa melebihi bangsa-bangsa lain.
Sekolah Bangsa Johor ini perlu berfokus ke atas penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Mandarin, Tamil dan lain-lain juga sewajarnya ditawarkan untuk mereka yang berniat untuk belajar.
Lebih baik sekiranya pelajar-pelajar kita boleh bercakap dalam tiga bahasa!
Ciri-ciri yang baik dari sekolah vernakular harus diaplikasikan di sekolah #BangsaJohor ini. Pendidikan berkualiti perlu diutamakan tidak kira bangsa dan agama.
Perpaduan dan pendidikan berkualiti adalah penentu masa depan negara.
Sekiranya kerajaan persekutuan tidak memulakannya, Johor tidak sepatutnya sekadar menunggu tetapi perlu menjadi contoh yang baik dan bertindak terlebih dahulu.
Saya pasti selepas kita merdeka, generasi sekarang sudah bersedia untuk lari daripada stigma bahawa sekolah vernakular merupakan satu keperluan untuk menjamin kesetiaan kepada negara.
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN bekas pendebat terbaik Asia dan pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
