Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam 'hadiahkan' jari tengah pada peserta wacana

Kecoh, dan berang diganggu ketika bertanya soalan, peguam Siti Kassim membalas ejekan orang ramai terhadapnya dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah sejurus selepas menamatkan soalannya di progam Wacana Sinar Harian hari ini.

Sebelum itu Siti berdiri untuk bertanya kepada panel dengan mempersoalkan mengapa orang Islam di negara ini dipaksa mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kata Siti dia adalah orang Melayu dan Islam tetapi mengapa perlu mematuhi segala undang-undang sedemikian.

“Saya seorang Melayu dan seorang (beragama) Islam tetapi kenapa saya perlu dikawal oleh orang-orang begini.

"Antara saya dengan Tuhan, kenapa saya kena ikut cara Islam kamu?” kata Siti yang mendapat reaksi sorakan hingar daripada hadirin.

Siti menjadi antara penonton yang menyertai Wacana Sinar Harian siri ke-41 anjuran akhbar berkenaan di Shah Alam.

Wacana itu membincangkan tajuk Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi - merujuk kepada cadangan dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa parti itu bertujuan memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah.

Antara yang hadir terdiri daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dasuki, Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, ADUN Meru Dr Rani Othman dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapa.

Panel jemputan bagi membincangkan tajuk itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Dr Tan Seng Giaw dan Naib Presiden MCA Gan Peng Sieu.

Bagaimanapun dalam reaksi segera Takiyuddin berkata, beliau tidak jelas dengan apa yang dinyatakan Siti.

“Tak jelas dengan soalan tetapi apa yang saya difahamkan beliau terpaksa ikut undang-undang Islam di negara ini.

“Orang Islam tidak boleh minum arak di negara jadi wajarkah jika kita paksa? Wajarkah? Itu soalan kepada tuan-tuan dan puan-puan, saya tak mahu jawab,” kata Takiyuddin ringkas.

Malah, Takiyuddin berkata kelulusan bagi setiap akta di negara ini adalah ditentukan oleh pihak berwajib.

Justeru katanya tiada apa yang perlu persoalkan lagi.

“Bidang kuasa mesti ditentukan oleh parlimen untuk pinda akta terbabit, jadi saya rasa ia tidak perlu dipersoalkan,” kata Takiyuddin.

Lihat Komen
ADS