Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pulau Pinang 'gugurkan' firma China dari projek terowong dasar laut
Diterbitkan:  Sep 6, 2016 6:23 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk tidak membenarkan firma yang berpangkalan di China, Beijing Urban Construction Group (BUCG) daripada beroperasi di negeri itu berikutan nahas kren di Kuala Lumpur yang meragut nyawa seorang wanita pada 25 Ogos lalu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengulangi pendiriannya bahawa firma itu tidak boleh dibenarkan beroperasi di Pulau Pinang kerana enggan bertanggungjawab berhubung kemalangan itu.

Dalam kemalangan itu, cangkuk kren di tapak pembinaan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur negara jatuh lebih daripada 20 tingkat dan menghempap kereta Chim Khoo Sing, 24 tahun yang berasal dari Pulau Pinang.

"Saya telah nyatakan bahawa mereka yang salah perlu bertanggungjawab bagi kesalahan mereka," kata Lim pada sidang akhbar di George Town hari ini.

"Ini kerana Pulau Pinang mahu kontraktor yang bertanggungjawab, bukan mereka yang memperjudikan nyawa rakyat Malaysia, dan kita tidak mahu mereka yang enggan bertanggungjawab terhadap kemalangan membabitkan syarikat mereka sendiri," katanya.

Lim berkata syarikat itu adalah antara kontraktor di bawah Konsortium Zenith BUCG-(Zenith) yang bertanggungjawab ke atas pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang, yang akan menghubungkan Gurney Drive ke Butterworth di tanah besar.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa kontraktor utama di bawah konsortium itu adalah China Railway, syarikat lebih besar yang membina landasan kereta api ke Tibet, dan bukannya BUCG.

Lim berkata beliau telah menyampaikan pendirian kerajaan mengenai isu itu kepada pengerusi Zenith, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulklifi, yang telah menulis kepada kerajaan negeri untuk meminta kelulusan menggugurkan BUCG daripada konsortium itu.

"Zenith bersetuju supaya firma itu menarik diri daripada projek berkenaan dan kerajaan Pulau Pinang bersetuju memberi kebenaran itu," kata Lim yang juga adalah setiausaha agung DAP.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS