mk-logo
Berita
MP saran wajib lulus bahasa Melayu untuk pekerja asing
Diterbitkan:  Sep 7, 2016 9:18 AM
Dikemaskini: 9:25 AM

Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyarankan kerajaan mewajibkan pekerja asing lulus dalam kursus asas bahasa Melayu untuk bekerja di Malaysia.

Menurutnya, selain pekerja Indonesia, kebanyakan pekerja asing yang diambil bekerja di negara ini tidak boleh bertutur menggunakan bahasa kebangsaan.

"Sekalipun jumlah perkerja asing yang tidak boleh bertutur menggunakan bahasa Melayu ini tidak lebih 25.2 peratus, namun keperluan dan kepentingan untuk mereka mengetahui dan mempunyai kemampuan untuk menggunakan bahasa ini adalah sangat penting.

"(Ia) bagi memudahkan dan melancarkan sebarang urusan yang berkaitan dengan mereka sekaligus dapat memperkasa dan mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Berdasarkan statistik rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU) 2015, terdapat 2.135 juta pekerja asing di negara ini yang bekerja di sektor pertanian, perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pembantu rumah.

Jumlah tersebut termasuk pekerja-pekerja dari Bangladesh, Thailand, Filipina, Pakistan, Myanmar, Nepal dan India.

Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan menerusi kementerian berkenaan mewajibkan pekerja-pekerja asing yang akan atau sedang berkerja di negara ini menghadiri serta lulus kursus asas Bahasa Melayu.

Katanya, saranan itu khususnya bagi pekerja yang terlibat di sektor perkhidmatan dan pembantu rumah.

"Pengawal-pengawal keselamatan yang diambil berkerja dari Nepal dan dua lagi negara sumber yang akan diumumkan nanti juga merupakan golongan yang penting untuk dipastikan mereka boleh bertutur dan menggunakan Bahasa Melayu dengan baik.

"Golongan ini merupakan individu pertama yang akan dijumpai oleh rakyat negara ini di pejabat-pejabat atau premis-premis untuk urusan-urusan tertentu.

"Jika golongan ini tidak boleh berbahasa Melayu, sedikit sebanyak ia menyusahkan rakyat negara ini dan menjejaskan imej pihak-pihak berkenaan," jelasnya.

 

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini