Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semakan Bajet 2016 yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 28 Januari lalu memperlihatkan peruntukkan untuk Kementerian Kesihatan akan dipotong antara RM250 juta hingga RM300 juta.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam pemotongan bajet sebanyak 10 peratus itu akan digunakan untuk meningkkan keberkasanan sektor kesihatan di semua peringkat.

Sebagai sebahagian langkah mengurangkan kos, lawatan luar negara untuk menghadiri persidangan, latihan dan mesyuarat akan dipotong.

Pemotongan bajet ini memberi kesan kepada ramai para penyelidik dan mereka telah berasakan impak ini sejak lapan bulan lalu.

Sebagai contoh, para penyelidik tidak dapat menjalankan penyelidikan berhubung virus Zika.

Persoalannya, bagaimana pihak kerajaan persekutuan meningkatkan keberkesanan dalam sektor kesihatan di semua peringkat jika mereka berhadapan dengan pemotongan bajet?

Pendidikan dan kesihatan sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.

Malangnya, kedua-dua sektor ini sedang berhadapan dengan potongan bajet. Pada mulanya pemotongan peruntukan ini berlaku di sektor pendidikan, dan kini sektor kesihatan pula menghadapi masalah sama.

Apakah keutamaan sebenar dalam pemikiran pemimpin BN pada hari ini?

Warga emas antara terseksa

Kerajaan persekutuan sepatutnya memotong berbillion peruntukan yang diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi menaikkan jumlah peruntukan dan memperbaiki keberkesanan sektor pendidikan serta kesihatan.

Amat mengarut dan tidak masuk akal untuk kerajaan persekutuan memotong bajet bagi sektor kesihatan dan pendidikan tetapi pada masa sama, perdana menteri melancarkan projek Taman Tugu yang dianggarkan berjumlah RM650 juta.

Projek itu hanya membazirkan dana awam dan menampakkan seolah-olah Taman Tugu lebih penting berbanding kualiti kesihatan dan tahap pendidikan rakyat.

Sejak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015, kerajaan persekutuan mengutip lebih daripada RM30 bilion wang rakyat dan jumlah itu dijangka meningkat lagi pada tahun ini.

Tidak ada sebab lagi mengapa kerajaan perlu memotong peruntukan sektor kesihatan dan pendidikan di negara kita.

Duit hasil daripada kutipan GST sepatutnya cukup untuk menampung kos operasi sektor perkhidmatan kesihatan, membina hospital dan klinik di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, memperbanyakkan program kesedaran kesihatan, menangani wabak Zika dan Ebola serta menaikkan gaji doktor dan jururawat di hospital dan klinik awam.

Pemotongan bajet sektor kesihatan memberi kesan yang teramat besar kepada golongan berpendapatan rendah dan pesara yang tidak mampu untuk mendapatkan khidmat kesihatan swasta.

Ramai warga emas dan pesara terpaksa membayar sejumlah wang yang banyak untuk membeli ubat-ubatan yang suatu ketika dulu diberikan secara percuma.

Rakyat mengalami sengsara akibat daripada kenaikan harga barang dan pemotongan bajet, namun kerajaan sewenang-wenangnya menyalahgunakan dana awam untuk projek Taman Tugu.


ABDUL AZIZ ISA pembantu khas kepada Anggota Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa, Chong Chieng Jen

Lihat Komen
ADS