Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rahman: Jangan sebar propaganda salah ekonomi M'sia
Diterbitkan:  Sep 8, 2016 6:31 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak berkongsi propaganda atau menyebar maklumat salah yang boleh merosakkan keyakinan dalam ekonomi negara, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menteri di jabatan perdana menteri itu berkata tindakan itu akan meyerupai usaha untuk mensabotaj ekonomi Malaysia.

"Dengan semua akaun, pelan transformasi kerajaan, kita terbukti berjaya dengan dasar-dasar yang baik yang kini menunjukkan keputusan yang kukuh.

"Semua rakyat Malaysia perlu memberi tumpuan kepada kejayaan tersebut, kerana kita mengemudi dalam keadaan global yang tidak menentu pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Abdul Rahman, yang juga pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional melahirkan keyakinan dalam keupayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerajui negara dalam ekonomi yang mencabar.

"Saya tidak mempunyai keraguan bahawa perdana menteri dan kerajaan ini akan terus memastikan Malaysia terus menikmati pertumbuhan ekonomi, mengutamakan kesejahteraan rakyat kita dan terus membangunkan Malaysia ke arah status negara maju dan berpendapatan tinggi," kata Abdul Rahman.

Ahli parlimen Kota Belud berkata demikian sebagai respons kepada satu siri mesej di media sosial yang menimbulkan kegelisahan di kalangan sesetengah rakyat Malaysia mengenai keadaan ekonomi negara.

Beliau berkata, kebanyakan mesej itu mengenai hutang semasa kerajaan Malaysia di mana nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 53.4 peratus pada 30 Jun 2016.

Nisbah ini, katanya mengukur berapa banyak hutang kerajaan berbanding KDNK keseluruhan negara.

"Kebanyakan kebimbangan dan tuduhan bahawa nisbah kita hampir 55 peratus had yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan dan jika kita melanggar had ini, Malaysia akan berada dalam masalah.

"Sesetengah mesej yang lebih tidak bertanggungjawab mendakwa Malaysia akan bankrap jika kita melepasi paras 55 peratus ini," katanya.

Abdul Rahman berkata KDNK Malaysia telah berkembang dan oleh itu mampu untuk menampung lebih banyak hutang.

Beliau menambah tahap semasa masih tidak setinggi berbanding tempoh antara 1980 hingga 1985 apabila nisbah meningkat daripada 44 peratus kepada 103.4 peratus.

"Jika kita tidak muflis pada 103.4 peratus pada tahun 1985, maka bagaimana kita akan menjadi muflis pada 55 peratus," katanya.

Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan kerajaan BN tidak mempunyai niat untuk melanggar had 55 peratus dan akan terus menguruskan kewangan dengan penuh tanggungjawab.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS