Malaysiakini
BERITA

Ku Li tak jadi bersara, mahu kekal jadi YB

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Sep 2016, 10:26 pagi

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menarik balik hasratnya untuk bersara daripada pentas politik dan menjadi wakil rakyat.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata demikian semasa ucapan penangguhan Persidangan Perwakilan Umno bahagiannya di Bukit Chekati, hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Kata Tengku Razaleigh atau lebih popular dengan panggilan Ku Li, keputusan itu diambil selepas persidangan itu meluluskan usul supaya beliau kekal menerajui Umno bahagian Gua Musang dan menjadi calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen kawasan yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Ku Li berkata, pertemuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lepas disifatkan mempunyai motif politik tertentu.

Pertemuan itu mungkin helah politik Mahathir bagi menarik sokongan rakyat terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru didaftarkan, selain cuba menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain, ujarnya.

"Mesti ada sesuatu (pertemuan Mahathir dengan Anwar). Dr Mahathir selalu buat kejutan, tetapi saya percaya pertemuan tersebut hanya demi kepentingan politik semata-mata," katanya kepada pemberita.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno bahagian Gua Musang Datuk Nozula Mat Diah, Naib Ketua Umno bahagian Gua Musang Ab Aziz Yusoff, Ketua Wanita Umno bahagian Gua Musang Datuk Wan Hazani Wan Mohd Nor dan Ketua Pemuda Umno bahagian Gua Musang Syeikh Razali Syeikh Hamad.

Isnin lepas, Mahathir dan Anwar bertemu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semasa bekas ketua pembangkang itu memfailkan saman untuk menghentikan operasi Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas alasan ia tidak berperlembagaan.

Dr Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 sebelum memecatnya daripada Umno.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.