Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Dalam Gila Gila pada 1980-an ada satu watak dicipta penulis sebuah siri cerita lucu majalah humor itu. Namanya Mak Cik Radio.

Macam dalam budaya Melayu, nama panggilan biasanya terbit daripada sifat semula jadi seseorang. Justeru Mak Cik Radio itu digambarkan sebagai seorang wanita yang gemar membawa mulut ke sana-sini.

Amalan 'membawa mulut' itu pula janganlah difahami secara literal. Mentang-mentang sekarang zaman Facebook, Twitter dan Pokemon Go maka pemahaman dan keperluan berbahasa halus tidak lagi diperlukan.

Mak Cik Radio itu bukanlah penglipur lara atau pencerita sepenuh masa. Dia seorang suri rumah sepenuh masa, manakala suka bercakap dan bercerita itu bagaikan pekerjaan sambilannya.

Dia berkomunikasi dengan orang sekitarnya melalui lisan. Benar atau tidak cerita yang dibawa, itu soal lain. Apa yang pasti dia gemar menjaja kisah dalam ketagihannya berkomunikasi.

Kaedah Mak Cik Radio itu bukan satu-satunya cara komunikasi yang ada dalam dunia. Malah suka atau tidak, alam juga berkomunikasi dengan manusia secara berterusan.

Misalnya, alam memberitahu bahawa dunia sekarang semakin panas. Kita tidak perlu ke Antartika untuk melihat pencairan ais di sana. Cukup sekadar melihat ke arah rumah-rumah yang ada di sekitar tempat tinggal masing-masing.

Sama ada rumah banglo, rumah teres, rumah pangsa atau mungkin setinggan. Apakah salah satu persamaan yang ada? Jawabnya: Penyaman udara. Sebenarnya kita semakin tidak betah hidup seadanya dengan cuaca yang ada.

Kadang-kadang alam menyindir dengan tajam.

Terlakar dalam sejarah

Misalnya ketika manusia begitu yakin - dan mungkin angkuh - dengan kecanggihan ubat-ubatan kita tiba-tiba ketakutan untuk berdepan dengan nyamuk.

Perumpamaan pernah menyandarkan nyamuk untuk menggambarkan suasana yang kecil dan remeh tetapi tiba-tiba yang "kecil dan remeh" itulah menjadi igauan ngeri manusia.

Ketika perang dengan denggi masih belum berakhir nyamuk datang bersama penyakit bernama zika.

Kemudian semalam kita tahu Negaraku berkumandang di Stadium Olimpik Joao Havelange di Rio de Janeiro. Di situ dunia menyaksikan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly membanggakan Malaysia.

Bukan saja Jalur Gemilang berkibar, malah rekod lama dunia dan Paralimpik mereka padamkan. Justeru nama ketiga-tiga mereka terlakar dalam sejarah dan akan kekal begitu sehinggalah ada pula atlet lain berjaya membuat pencapaian lebih baik.

"Bro, apa lagi yang atlet kita buat di Brazil tu?" tanya seorang teman. "Bukan ke Olimpik dah habis?"

Yakinlah, bukan teman itu saja yang kurang terdedah dengan sukan Paralimpik. Masih ada ramai orang sebelum ini tidak menganggap Paralimpik sebagai sesuatu yang penting. Sehinggalah Ziyad, Abdul Latif dan Ridzuan menyedarkan kita.

Paralimpik berlangsung tidak berapa lama selepas Olimpik tamat, juga berakhirnya impian Malaysia menggapai pingat emas. Tiba-tiba kita disindir alam lagi.

Lidah lebih laju

Rupa-rupanya pingat emas itu digenggam dan dibawa pulang oleh atlet yang selama ini kita anggap "kurang upaya". Memanglah sekarang istilah OKU itu sudah diubah menjadi "kelainan upaya" namun berapa ramai yang benar-benar memahami maksudnya?

Jika Olimpik dulu ada pihak yang gatal mulut - atau tangan - membangkitkan isu perkauman, Paralimpik ini menghantar mesej pula bahawa keikhlasan, kesungguhan dan patriotisme tidak dibataskan oleh latar bangsa, agama atau keturunan.

Lee Chong Wei yang berbangsa Cina menjadi Lee Chong Wei yang kita kenal kerana ajaran Misbun Sidek yang berbangsa Melayu.

Ziyad yang Melayu itu pernah dibantu guru berbangsa India dan Cina di sekolah untuk membentuk Ziyad seperti yang kita kenal sekarang.

Ridzuan pula diasuh dengan sabar oleh jurulatih bernama R Jeganathan.

Pun begitu individu atau kumpulan yang hidup dengan modal rasisme dan kebebalan tentu tidak akan dapat memahami mesej berkenaan.

Selepas puluhan tahun watak seperti Mak Cik Radio itu rupa-rupanya masih ada dan bercakap sekehendak hati. Lidah mereka ternyata lebih pantas bergerak berbanding akal.

Membakar sentimen perkauman barangkali bukanlah pekerjaan utama mereka. Ia adalah tugas sambilan yang memberi kepuasan dalaman apabila melihat rasa curiga, kebencian dan persengketaan antara kaum semakin memanas.

Sindiran-sindiran yang terpancar daripada kejadian seharian tidak akan mampu menyebabkan mereka sedar atau insaf, apa lagi malu. Barangkali kerana 'tebalnya' kulit di wajah maka ditampar hakikat sehingga 12,458 kali pun ia tetap tidak akan mengubah hati mereka.

Kita sudah lihat terujanya rakyat Malaysia menyambut ketibaan atlet Olimpik baru-baru ini. Bagaimana pula agaknya sambutan untuk wira-wira Paralimpik di lapangan terbang ketika mereka pulang nanti?

Alangkah indah dan manis jika kepulangan atlet Paralimpik itu turut disambut oleh atlet Olimpik juga. Tak begitu YB menteri?


AL-ABROR MOHD YUSUF anggota sidang pengarang Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS