Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan M’kini untuk lucutkan hakim
Diterbitkan:  Sep 14, 2016 3:48 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Malaysiakini untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi mencabar keputusan pemilihan hakim yang mendengar kes saman fitnah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, terhadap terhadap portal berita bebas itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara memutuskan Malaysiakini gagal memenuhi peruntukan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964.

Turut bersidang sama adalah hakim Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Ramly Ali.

Mahkamah juga menganugerahkan kos berjumlah RM10,000 kepada responden.

Responden yang dinamakan dalam permohonan itu ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusof dan Najib.

Portal berita itu memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 April lalu yang menolak permohonan Malaysiakini untuk mengkaji semula arahan hakim besar Malaya supaya hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Kamaludin Md Said mendengar kes yang difailkan oleh Najib.

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, Kamaludin akan terus mendengar kes itu.

Bagaimanapun, peguam Malaysiakini Malik Imtiaz Sarwar berkata masih terdapat rayuan bagi melucutkan kelayakan hakim di Mahkamah Rayuan, yang ditetapkan pada 4 Oktober ini.

"Semuanya telah ditangguh sementara menanti rayuan itu," kata Malik Imtiaz kepada pemberita selepas permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Saman difailkan pada 3 Jun 2014

Najib dan Abdul Rauf memfailkan saman terhadap Malaysiakini pada 3 Jun 2014, dan kes itu diuruskan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Norfauzani Mohd Nordin, pada 18 Jun, 8 Julai dan 2 Disember 2014.

Saman itu difailkan berhubung dua artikel yang disiarkan di laman web berhubung komen pembaca mengenai kemelut menteri besar Terengganu yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Said dilucutkan jawatannya dan digantikan oleh Abdul Razif Abdul Rahman.

Mkini Dotcom Sdn Bhd memfailkan pembelaan dan tuntutan balas pada 17 Dis, 2014, dan jawapan serta pembelaan kepada tuntutan balas ini difailkan pada 9 Feb 2015.

Pada atau sekitar 18 Jun, Mkini Dotcom difahamkan bahawa Kamaludin, yang ketika itu adalah pesuruhjaya kehakiman, telah dilantik untuk mendengar saman itu.

Mkini Dotcom kemudiannya memfailkan permohonan supaya hakim itu dilucutkan atas atas alasan konflik kepentingan kerana Najib menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan hakim-hakim mengikut Perkara 122B (1) dan Seri Paduka terikat untuk bertindak mengikut nasihat itu, menurut peruntukan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas permohonan ini dibuat, Kamaludin disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan Mkini Dotcom menarik balik permohonannya pada 14 November 2014, tetapi hakim Kamaludin tidak mendengar perkara ini berhubung notis penarikan balik itu.

Pada 1 Jan, 2015, hakim Kamaludin dipindahkan dari bahagian sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi di Seremban.

Pada 13 Feb, 2015, Mkini Dotcom difahamkan bahawa Hakim Kamaludin telah diarahkan untuk mendengar dan membuat penghakiman berhubung permohonan Najib, walaupun hakim itu bukan lagi berkhidmat di bahagian sivil Mahkamah Tinggi di KL.

Hanya pada 16 Mac, 2015, hakim Zulkefli, melalui pegawai khasnya, menjawab dan menyampaikan bahawa Kamaludin akan tetap menjadi hakim yang mendengar kes itu.

Mkini Dotcom menghantar beberapa pucuk surat kepada hakim besar Malaya dan pegawai khasnya di antara 16 Mac dan 1 April 2015. Mereka mengesahkan bahawa hakim Kamaludin akan mendengar kes ini, walaupun telah dipindahkan ke Seremban.

Pada 12 Jun 2015, Mkini Dotcom memfailkan permohonan semakan kehakiman, memetik bahawa ia terjejas teruk dengan keputusan itu dan ini akan menjejaskan hak syarikat itu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Pada 22 Jun, hakim Mahkamah Tinggi KL, Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonan semakan kehakiman Mkini Dotcom dengan enggan memberikan kebenaran atas alasan permohonan itu difailkan di luar jangka masa.

Lihat Komen
ADS