Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis hari ini menafikan lelaki warga Syria bersama keluarganya yang menginap di sebuah hotel di Port Dickson memiliki bom tangan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Adzli Abu Shah berkata perkara itu setakat ini belum dapat disahkan sehingga lelaki itu berjaya dikesan.

"Berdasarkan kenyataan yang telah kita ambil daripada pekerja hotel
berkenaan, ketika lelaki (Syria) itu membuat pendaftaran keluar, dia (pekerja) telah diarahkan melakukan pemeriksaan rutin di dalam bilik ketika pelanggan membuat pendaftaran keluar.

"Ketika itulah dia ternampak sebuah beg di bawah katil dan apabila dibuka ternampak barang menyerupai bom tangan.

"Dalam masa sama, lelaki (Syria) itu naik semula ke bilik hotelnya untuk
mengambil beg tersebut. Dia bukan tinggalkan beg itu di bawah katil dan barang di dalam beg itu yang dikatakan bom tangan juga belum dapat kita pastikan lagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Seremban hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lelaki Syria berusia 30-an bersama keluarganya yang menginap di sebuah bilik hotel berkenaan, merupakan pemilik bom tangan yang ditinggalkan di dalam sebuah beg di bawah katil.

Adzli berkata setakat ini, pihaknya percaya lelaki itu dan keluarganya masih berada di dalam negara dan usaha mengesan lelaki terbabit sedang dilakukan.

"Kalau kita dapat kesan lelaki berkenaan kita akan minta dia tunjukkan
barang tersebut kalau dia kata ia bukan bom tangan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS