Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Malaysia kehilangan tokoh Islam berjasa
Diterbitkan:  Sep 16, 2016 12:12 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan perasaan sedih di atas pemergian Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang disifatkan sebagai tokoh Islam yang banyak berjasa di negara ini.

Menerusi kenyataan di Facebook, perdana menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mursyidul Am PAS itu.

"Malaysia kehilangan seorang tokoh ulama Islam yang banyak berjasa dan amat saya hormati. Secara peribadi, saya dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat dan disayangi.

"Meskipun landasan politik kami berbeza, kami sama-sama inginkan perkara yang serupa, Malaysia negara Islam yang terus makmur dan sejahtera.

"Semoga roh Allahyarham Haron Din dikurniakan husnul khotimah dan mendapat syurga tertinggi Allah, syurga Al-Jannah bersama para syuhada. Al-Fatihah," katanya.

PAS rakam ucapan takziah

Sementara itu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memanjangkan ucapan takziah bagi pihak parti itu kepada ahli keluarga Allahyarham.

Katanya, Allahyarham merupakan generasi awal lulusan Islam yang bersama perjuangan Islam PAS.

"Bagi pihak PAS, saya ucap takziah kepada ahli keluarga Allahyarham, semoga roh beliau di tempatkan bersama para ambia, syuhada dan solehin.

"Beliau merupakan generasi awal yang bersama dengan PAS, generasi awal yang lulusan Islam bersama dengan Profesor Dr Zulkifli Mohamad dan kumpulan Islam.

"Kita harap semua sumbangan dia pada Islam, pada PAS diterima oleh Allah dan segala kekurangan dia diampunkan oleh Allah SWT," ujarnya dipetik Harakahdaily.

Dalam perkembangan sama, Majlis Dakwah Negara (MDN) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan penyokong PAS seluruh negara.

Pengerusinya, Prof Datuk Mahmood Zuhdi menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar untuk negara dan masyarakat Islam.

"Sebagai Mursyidul Am, Allahyarham telah memainkan peranan yang berkesan sebagai pemimpin spiritual kepada PAS walaupun tempoh perkhidmatannya boleh disifatkan sebagai pendek.

"Sejak menjadi Timbalan Mursyidul Am yang pertama dalam tempoh masa yang cukup lama di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz beliau telah menunjukkan sikap kepimpinan yang sangat mementingkan kesederhanaan dalam berbagai aspek," katanya.

Beliau berkata sejak penglibatan Allahyarham dalam politik sekitar 1970 an, beliau terkenal sebagai seorang yang sangat menjaga pertuturan daripada perkataan yang menyakitkan hati orang lain.

"Takziah juga ditujukan kepada umat Islam seluruhnya atas sifat beliau sebagai seorang pendakwah yang sangat berkesan dengan pendekatan positif dan sentiasa menjauhkan diri daripada mempertikaikan pandangan orang lain," katanya.

ADS