Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ANGKASA Johor sanggah BERJASA libatkan koperasi dalam politik

Usaha Parti Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA) untuk menarik sokongan ahli koperasi dalam penyertaan mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) disanggah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Pengerusi ANGKASA Johor, Mejar Sazali Abd Hamid berkata tindakan pengerusi BERJASA yang cuba mengaitkan gerakan koperasi ke kancah politik perlu disanggah kerana lari dari landasan sebenar koperasi.

"Tindakan beliau cuba membawa koperasi ke dalam politik perlu disanggah dan saya mewakili ahli-ahli koperasi di negeri Johor menolak kaedah yang cuba dibawa beliau.

"Kami dalam gerakan koperasi melangkaui fahaman politik, dalam koperasi kami ada ahli di kalangan orang Umno, PAS dan Pakatan Rakyat. Kami boleh bersama dalam koperasi walaupun berbeza ideologi politik.

"Itu uniknya koperasi, melalui gerakan koperasi di Malaysia, kita ketepikan politik," katanya.

Presiden BERJASA Dr Mustapa Kamal Maulut sebelum ini mengumumkan parti itu akan bertanding dalam PRU14 di lapan DUN Selangor dan mensasarkan pengundi di kalangan ahli-ahli koperasi.

Mustapa Kamal yang turut memperkenalkan BERJASA sebagai parti koperasi berkata, penyertaan mereka pada PRU14 nanti adalah satu usaha untuk membangunkan ekonomi negara melalui koperasi.

"Parti ini adalah parti BERJASA, parti koperasi. Anggota koperasi belum disentuh oleh mana-mana parti, kalau ada pun secara umum.

"Kalau kita lihat mungkin ahli Umno ada tiga juta, mungkin ahli PAS sejuta dan ahli PKR 500,000, itu baru berjumlah empat juta.

"Sedangkan ahli koperasi ada lapan juta orang. Jadi ada lagi di kalangan rakyat Malaysia ini belum kita sentuh. Pimpinan BERJASA ketika ini adalah di kalangan anggota koperasi," katanya pada sidang media di Batu Caves, Ahad lalu.

Sementara itu, Sazali mendakwa kini wujudnya kebimbangan di kalangan ahli-ahli koperasi susulan kenyataan daripada Mustapa Kamal yang cuba mengaitkan pertubuhan ekonomi itu.

"Saya dihubungi ahli-ahli koperasi menyatakan kekesalan mereka dengan kenyataan Mustapa yang cuba melibatkan koperasi dalam politik.

"Kita tak ada masalah dia nak berpolitik, tetapi jangan libatkan koperasi. Gerakan koperasi adalah untuk membantu perkembangan ekonomi, bukan berpolitik.

"Pemimpin politik boleh berkoperasi, tetapi tidak boleh berpolitik dalam koperasi. Ia tidak selari dengan amalan gerakan koperasi di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

"Di Johor kita ada lebih 1,000 koperasi bergabung di bawah ANGKASA Negeri Johor menolak usaha yang cuba dilakukan BERJASA," jelasnya.

Sementara itu Mustapa Kamal dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini berkata terdapat pemimpin ANGKASA sendiri aktif dalam parti-parti politik sendiri.

“Jadi mengapa terasa takut dan cemburu anggota-anggota koperasi ingin menyertai parti lain yang diminati dan ada harapan membela kemajuan koperasi,” katanya.

Lihat Komen
ADS