Ketua Pembangkang Teng Chang Khim digantung selama lima daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mulai hari ini kerana didakwa telah menghina dewan.

Speaker dewan Datuk Seri Onn Ismail juga berkata dewan bersetuju Teng dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana telah menghina dewan dengan membuang buku peraturan tetap DUN ke dalam tong sampah.

Menurut laporan Bernama , Kejadian itu berlaku ketika sesi perbahasan usul menyembah ucapan terima kasih ke atas ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada sidang DUN di Shah Alam hari ini.

Teng (DAP-Sungai Pinang) bertindak demikian kerana tidak berpuas hati apabila Onn menolak usul tidak percaya yang dibawanya pada 9 April lalu terhadap Menteri Besar Selangor kerana mencemarkan nama baik Selangor.

"Saya menerima surat 20 April daripada Tuan Speaker yang menolak usul saya berdasarkan peraturan 17. Sebenarnya pembentangan adalah pemberitahu usul dan mesti diterbitkan dalam aturan mesyuarat. Tapi tuan Speaker menolak usul saya yang masih belum dibentangkan," katanya ketika sesi perbahasan berkenaan.

Sambil mengangkat buku peraturan, Teng berkata beliau tidak boleh mematuhi arah pengerusi mesyuarat jika Speaker tidak mematuhi peraturan itu, lalu mencampakkan buku berkenaan ke dalam tong sampah, sebelum beredar.

Beberapa penyokong kerajaan sebelum itu turut bangun dan membangkitkan peraturan 36 yang mengatakan seseorang itu perlu menghadkan ucapan kepada perkara yang dibincangkan dan peraturan 36 (6) tidak boleh bersangka jahat terhadap ahli dewan yang lain.

Ketika Teng bergerak keluar, Onn mengatakan beliau menggunakan peraturan 44 (2) bagi menghalau ketua pembangkang itu keluar dari dewan dan menyatakan Teng digantung selama tiga hari.

Khir: Biar polis siasat

Apabila sesi dewan bersambung pada pukul 2.30 petang, Onn mengumumkan Teng digantung daripada menghadiri sidang dewan selama lima hari bermula hari ini.

Ng Suee Lim (DAP Sekinchan) turut keluar beberapa ketika selepas Teng meninggalkan dewan.

Teng dalam ucapannnya sebelum itu berkata Sultan Selangor dalam titah ucapannya perasmian DUN memuji Menteri Besar sebanyak empat kali yang menurutnya bukan amalan yang betul dan baik.

Teng juga mengkritik Menteri Besar yang didakwa menyeleweng seperti yang dipaparkan dalam buku Khir Toyo, dakwaan mempunyai tanah di Janda Baik, pemberian tanah di Taman Templer, isu tanah di Kampung Perepat, Kapar dan pembinaan banglo exco di Seksyen 7 di sini.

Mengenai tuduhan terhadapnya berdasarkan buku "Khir Toyo antara Amanat dan Khianat", Dr Mohamad Khir berkata beliau tidak mahu menjawab tulisan seorang yang tidak diketahui kredibilitinya.

"Saya tak nak layan. Nanti sibuk nak menafikan kenyataan orang pula. Kerja kami cukup banyak. Semua anggota BN bersih daripada rasuah termasuk saya kerana sudah ditapis polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum pilihanraya Umum tahun lalu," katanya.

Beliau hairan mengapa pembangkang yang sudah kering isu sibuk membangkitkan perkara yang boleh memalukan ahli dewan lain dan setakat ini belum ada apa-apa cadangan daripada mereka untuk kebaikan Selangor.

Mengenai pemberian tanah di Kampung Perepat, Kapar, Klang, Dr Mohamad Khir berkata perkara itu akan dirujuk kepada polis untuk membuat siasatan.

"Ada tuduhan berlaku penipuan dalam perkara itu dan kita serahkan siasatan kepada polis. Janganlah ambil informasi daripada wartawan dan bawa ke dalam dewan ini," katanya.

Mengenai isu rumah banglo exco, beliau berkata pembangunan rumah itu dirancang dan bukannnya dibina secara suka-suka.