Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwa mufti Perlis meroyan, Zamihan sahut seruan dialog
Diterbitkan:  Sep 21, 2016 5:08 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Perbalahan antara Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin dan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin nampaknya tidak ada kesudahan.

Ini kerana Zamihan berkata beliau sedia menyahut cabaran Mufti Perlis itu untuk mengadakan dialog mengenai fahaman Wahabi yang sebelum ini ditujukan kepada NGO Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN).

Katanya, Asri kini kepanasan apabila AMIN mahu bertindak ke atasnya berikutan penyebaran fahaman Wahabi di negara ini.

“Ternyata Mufti itu kepanasan, meroyan dan cepat melatah dalam mempertahankan kredibiliti Wahabi yang beliau sendiri rancu dan keliru tentangnya.

“Selaku Presiden ASWAJA dan salah satu NGO yang bergabung dengan AMIN, maka saya menyahut seruan dialog yang dicanangkan Mufti Perlis secara terbuka,” tulisnya di Facebook.

Zamihan turut menentukan tajuk forum itu ‘Ajaran Wahabi di Malaysia: Fakta atau Auta?’.

Semalam Asri mendesak AMIN untuk berdialog mengenai “Bahaya Ekstrimisme Agama” di Perlis namun NGO itu menolaknya atas alasan tidak mahu berbalah.

Ia kerana AMIN dilapor mendesak kerajaan supaya membanteras fahaman Wahabi yang dilihatnya memberi ancaman keselamatan kepada negara.

Jurucakapnya, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied dilaporkan berkata Wahabi yang dikaitkan dengan ilmuwan Ibnu Taimiyyah tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana menjurus kepada gerakan militan ekstrim seperti IS.

Ia dilaporkan turut mendesak pihak berwajib supaya mengharamkan penceramah yang dilihat mengajar fahaman Wahabisme dalam apa jua bentuk di negara ini, dan desakan itu turut ditujukan kepada Asri.

Mengulas lanjut, Zamihan berkata Asri dilihat bersikap pra-matang, dangkal dan jelas melambangkan kejahilannya sebagai seorang mufti dalam bidang akidah, pemikiran dan fikah mazhab muktabar berkaitan isu Wahabi.

“Saya boleh bongkar dakwaannya satu persatu dengan selamba, mudah dan berfakta. Bagaimanapun saya tidak mahu mengaibkannya sama sekali,” katanya.

Zamihan turut mencadangkan supaya sesi dialog itu diadakan dalam sidang Majlis Fatwa Kebangsaan di Jakim kerana terdapat ramai ulama dan bukannya di Perlis seperti dicadangkan Asri.

“Mereka boleh menilai dan membuat keputusan segera selepas majlis dialog berkenaan. Anda dan saya juga tidak mampu untuk melakukan sebarang teknik 'spin' sama sekali.

“Dialog di gelanggang Perlis atau di depan orang awam amatlah tidak sesuai. Ia lebih menambah fitnah berbanding natijah,” katanya.

Zaminah turut mengingatkan Asri supaya tidak memberi banyak alasan untuk menyertai dialog itu.

“Seorang Mufti haruslah seorang yang berani dan bercakap benar. Hubungi saya segera untuk tempahan dialog tanpa sebarang bayaran dan prejudis,” katanya.

Awal tahun lalu, satu majlis debat antara Zamihan dan Asri diatur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai pemikiran ekstrem di negara ini.

Program itu kemudian dinasihat pihak berkuasa - termasuk Polis Diraja Malaysia - diadakan secara tertutup dan dalam format dialog.

Tarikh asal yang dicadangkan adalah pada 10 Februari dan ditunda kepada tujuh hari kemudian selepas Zamihan terpaksa bertugas di Penjara Machang.

Namun Zamihan tidak hadir di sesi berkenaan.

Menafikan takut atau melarikan diri beliau menjelaskan ketidakhadiran nya disebabkan tidak dimaklumkan mengenai majlis itu.

Lihat Komen
ADS