Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nalla: Anwar khianati saya dua kali, tapi sekarang OK

Bekas rakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S Nallakaruppan memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia merasakan telah dikhianati dan kecewa dengan bekas ketua pembangkang itu sebanyak dua kali.

Nallakaruppan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau mengenali Anwar sejak 1980 an dan pernah bermain tenis bersama-sama sebelum menyertai PKR pada tahun 2006 serta dilantik sebagai ketua cabang PKR di Kepong.

Katanya, beliau dijadualkan bertanding di Ijok pada April 2007 tetapi Anwar memberitahu pada "saat akhir" untuk memberi laluan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini ADUN Pelabuhan Klang.

"Ia datang pada saat-saat akhir, tetapi saya telah mendengar mengenainya sebelum itu. Saya masih ingat kata-kata beliau (Anwar) hingga ke hari ini," katanya kepada mahkamah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan.

Beliau memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kelima dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan Anwar terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy sebelum ini mendakwa ucapannya terhadap Anwar tidak mempunyai konotasi seksual, sebaliknya bermaksud pemimpin pembangkang itu mempunyai kecenderungan untuk mempermainkan sekutu politiknya demi manfaat sendiri dan mengkhianati mereka.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Anwar, Latheefa Koya, Nalla berkata beliau tidak kecewa dengan episod pada masa itu dan bersetuju menghadiri ceramah politik dalam kempen pilihan raya selepas itu.

Apabila disoal semula oleh peguam Khairy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, senator itu bagaimanapun menjelaskan beliau berasa kecewa dan dikhianati daripada episod itu.

Nallakaruppan memberi keterangan bahawa kali kedua beliau dikhianati adalah semasa pemilihan PKR selepas pilihan raya kecil di Ijok berakhir dengan kekalahan Khalid.

Katanya, beliau bertanding untuk jawatan naib presiden pada masa itu dan ketika proses penamaan berjalan, beliau memperoleh pencalonan kedua tertinggi.

Bagaimanapun pada Mei 2007, Anwar datang kepadanya dan meminta beliau menarik diri daripada pertandingan itu untuk memberi laluan kepada Mohamed Azmin Ali (Kini Datuk Seri) yang kini merupakan timbalan presiden PKR.

Beliau berkata begitu kecewa dengan perkara itu dan meninggalkan PKR pada 18 Mei 2007 serta enggan menjawab panggilan telefon Anwar.

Perkara itu dilakukan walaupun Anwar berjanji menawarkan jawatan naib presiden selepas pemilihan parti itu berakhir.

Nallakaruppan memberitahu mahkamah bahawa jika beliau dilantik dan bukan dipilih ke jawatan itu, pelantikan itu boleh dibatalkan pada bila-bila masa.

Selain itu, katanya beliau mahu melalui proses pilihan raya untuk mengukur tahap sokongan dan melakar kerjaya politiknya.

"Itulah di mana salah faham (dengan Anwar) bermula, tetapi kini okay," katanya, sambil memalingkan muka dari kandang saksi untuk tersenyum pada Anwar yang duduk di belakangnya, hingga menyebabkan ketawa dari galeri awam.


PKR tak amal apa yang diajar

Awal hari ini, mahkamah juga menyoal dan melakukan pemeriksaan balas terhadap bekas Setiausaha Pemuda PKR, Lokman Noor Adam, yang memberikan keterangan dalam perbicaraan Selasa lalu.

Ketika disoal balas Latheefa, Lokman memberitahu beliau menjalankan perniagaan selepas dipecat oleh PKR pada tahun 2004.

Beliau kemudian menyertai Umno pada tahun 2007 selepas presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, beliau menafikan cadangan Latheefa bahawa ia adalah pengkhianatan terhadap PKR, walaupun parti itu dan Umno adalah musuh politik.

Apabila disoal semula oleh Shafee selepas itu, Lokman berkata beliau menyertai Umno selepas tiga tahun meninggalkan PKR.

"Sebab selepas 2007, PKR menjadi agak kuat dan Umno agak goyah pada masa itu, jadi saya mahu bekerja untuk memastikan bahawa (PKR) tidak menjadi kerajaan," katanya.

Beliau menuduh PKR tidak mengamalkan apa yang diajar seperti apabila parti itu memecat beliau kerana mengkritik Ketua Pemuda PKR Mohd Ezam Noor dan pada masa sama menyeru kebebasan bersuara.

Lokman berkata, walaupun Umno mempunyai kelemahan, ia masih boleh diperbaiki dan parti itu jauh lebih baik daripada PKR.

Beliau menambah beliau juga marah kepada Mahathir kerana kononnya membuat kenyataan yang memperkecil-kecilkan Nabi Muhammad.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibantah oleh Latheefa sebagai tidak relevan dengan kes itu dan tidak adil kepada Mahathir kecuali dipanggil untuk menyatakan pendiriannya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul kemudian membenarkan bantahan.

Perbicaraan bersambung esok dengan pemeriksaan balas terhadap ADUN Lenggeng, Ishak Ismail. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS