Most Read
Most Commented
mk-logo
News
Mahkamah tolak permohonan kemuka nota keterangan dari Hong Kong
Published:  Apr 26, 2005 8:41 PM
Updated: Aug 3, 2016 11:24 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk mengemukakan nota-nota di prosiding perbicaraan di Hong Kong membabitkan kes pecah amanah jenayah Tan Sri Eric Chia, sebagai bahan bukti.

Menurut laporan Bernama , Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas menimbang hujah-hujah dan rujukan undang-undang yang dikemukakan oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan timbalan kanan pendakwa raya Datuk Mohamad Yusoff Zainal Abiden.

Ketika menolak permohonan itu, Akhtar yang menggariskan tiga perkara utama berkata prosiding di Hong Kong adalah prosiding kehakiman kerana ia membabitkan penghukuman serta satu perintah yang dibuat oleh seseorang yang bertindak dalam kapisiti kehakiman, seperti majistret Hong Kong.

"Setelah memutuskan mengenai permohonan mengikut Seksyen 33 Akta Keterangan, pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan prasyarat seksyen itu iaitu keterangan yang direkodkan di Hong Kong tidak boleh dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan di hadapan saya," katanya.

Keterangan itu didengar di Hong Kong pada 25 dan 26 Ogos tahun lepas.

Muhammad Shafee membangkitkan bantahan dan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan membabitkan pengumpulan keterangan oleh Peguam Negara daripada saksi-saksi di Geneva dan Zurich, Switzerland dalam kes itu.

Chia, 73, bekas pengarah urusan Perwaja Steel and Perwaja Rolling Mill and Development, didakwa melakukan jenayah pecah amanah membabitkan RM76.4 juta.

Peruntukan Seksyen 193

Dia didakwa meluluskan pembayaran bagi amaun itu ke dalam akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Limited, Hong Kong bagi bantuan teknikal yang diberikan oleh NKK Corporation Jepun bagi projek kilang di Gurun, Kedah sedangkan tiada bayaran sepatutnya dibayar kepadanya.

Di samping itu Chia menghadapi tuduhan pilihan melupuskan dana syarikat dengan memasuki perjanjian dengan NKK Corporation dan meluluskan pembayaran tanpa kelulusan jawatankuasa lembaga pengarah atau tender Perwaja Rolling Mill and Development.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P. Ramlee di sini antara 4 Nov, 1993 dan 22 Feb, 1994.

Mengenai peruntukan Kanun Prosedur Jenayah, Akhtar berkata ia merupakan undang-undang lama iaitu prosedur menjalankan perbicaraan jenayah di mahkamah lebih rendah, tertakluk kepada peruntukan Seksyen 193 kanun itu yang antara lain menjadi tugas mahkamah mengambil keterangan.

Dalam keputusan bertulisnya, beliau berkata peruntukan relevan dalam seksyen 267 kanun itu memperuntukkan keterangan itu perlu dirakam dalam tulisan tangan majistret yang mendengar kes itu dan membentuk sebahagian daripada rekod.

"Di sini, bagi keterangan dalam prosiding di Hong Kong pastinya tidak direkodkan oleh saya. Ia mungkin dipertikaikan bahawa Seksyen 272A Kanun Prosedur Jenayah membenarkan seseorang mencatat nota-nota namun sekali lagi dalam kes ini, saya tidak membenarkannya," katanya.

Beliau berkata hasrat pendakwaan untuk memasukkan prosiding di Hong Kong sebagai sebahagian daripada rekod perbicaraan dihadapannya, jelas tidak dibenarkan oleh peruntukan sedia ada dalam Kanun Prosedur Jenayah.

Dokumen mesti sahih

Keterangan seperti itu katanya mesti direkodkan dalam tulisan tangan, dan tidak dihasilkan dalam transkrip daripada bentuk rakaman audio, yang didapati tidak berkesinambungan.

Isu ketiga membabitkan keterangan dokumen. Akhtar berkata Akta Keterangan memperuntukkan kebolehterimaan keterangan dokumen-dokumen dijana komputer dengan syarat sijil mengikut Seksyen 90A Akta itu mesti disertakan untuk mengesahkan kompetensi dokumen-dokumen yang dijana komputer.

"Banyak dokumen yang dijana komputer dikemukakan di sini, namun daripada nota prosiding, saya tidak nampak sijil dikemukakan," katanya.

Mengenai keperluan lain bagi kebolehterimaan dokumen, dokumen itu mesti sahih ketulenannya mengikut Seksyen 42 (2) Akta Perkara-perkara Jenayah Bantuan Bersama Akta 2002 (Macma) dan kaedah itu disahkan dalam kes ini oleh Majistret dari negara asing.

Beliau berkata dalam kes ini, ada sijil tunggal daripada Pentadbir Khas Majistret Hong Kong bersabit semua dokumen yang dikeluarkan.

"Dokumen-dokumen yang disahkan tidak ditanda dengan betul untuk saya memutuskan sama ada dokumen berkenaan telah disahkan oleh majistret.

"Begitu juga dengan nota transkrip, saya tidak boleh menentukan dokumen mana yang telah disahkan oleh saksi. Oleh itu dokumen ini tidak tulen seperti yang disyaratkan oleh Seksyen 42 Macma," katanya.

Selepas keputusan itu, Mohamad Yusof memberitahu Akhtar bahawa beliau perlu berunding dengan Peguam Negara membabitkan keputusan terbabit dan akan mencadangkan supaya perkara itu dihantar untuk semakan kehakiman.

"Kita akan memohon penggantungan prosiding esok," katanya. Perbicaraan bersambung esok.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS