story image

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee berkata "parti Malaya" telah gagal dan "politik Malaya sudah memusnahkan negara" ini.

"Sebab itu semua suku kaum orang Sabah kembali ke parti Sabah," katanya melalui Twitter hari ini.

Ditanya mengapa, Yong yang berkhidmat sebagai ketua menteri antara 1996 hingga 1998 berkata negara amat terjejas oleh polarisasi perkauman dan agama.

Menurut presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) itu, orang ramai berpecah-belah disebabkan konflik yang berpunca daripada politik perkauman.

"Sementara itu Sabah dan Sarawak (masyarakatnya hidup dalam) harmoni. Malaysia sedang dibankrapkan oleh parti-parti politik Malaya," katanya kepada Malaysiakini.

Malaya yang disebut Yong itu merujuk kepada Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun Yong menafikan komennya itu dibuat ekoran keputusan anggota parlimen Penampang Darell Leiking keluar dari PKR.

Bekas naib presiden PKR itu kini bersama Datuk Seri Shafie Apdal yang dalam proses menggerakkan sebuah parti baru menggunakan pertubuhan sedia ada di Sabah.

Malaysiakini semalam melaporkan Shafie bersama Leiking (gambar) berkunjung ke pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya dalam proses mereka untuk mengambil alih parti berkenaan.

Shafie adalah seorang menteri kanan di Putrajaya dan pernah dipilih oleh Umno untuk menjadi naib presiden parti berkenaan.

Beliau bagaimanapun digantung daripada Umno pada Jun lalu kerana tidak sependapat dengan Datuk Seri Najib Razak. Shafie kemudian mengumumkan keluar dari parti yang pernah diusahakannya untuk berkembang di Sabah pada Julai.

Dengan keluarnya Leiking daripada PKR parti itu kini tidak lagi mempunyai sebarang anggota parlimen dari Sabah.

"(Ia berdasarkan) situasi secara keseluruhan, bukannya kerana Darell," kata Yong.

Menurut beliau kembalinya Leiking berpolitik di Sabah membuktikan betapa sia-sianya parti dari semenanjung.

"Politik Malaya amat bersifat memecah-belahkan. ia tidak baik untuk Malaysia. Tidak baik untuk Sabah dan Sarawak.

"Kecenderungan kini ialah, semakin ramai orang meninggalkan parti (bersifat nasional) untuk menyertai parti tempatan di Sabah," katanya.

[Baca berita asal]

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS