Most Read
Most Commented
Read more like this

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dicadangkan untuk digunakan bagi menahan 'ulama-ulama jahat' yang mengunakan agama sebagai alat memesongkan pemikiran orang Melayu.

Perkara itu dicadangkan oleh perwakilan Umno daripada Terengganu Rashid Ngah semasa membahaskan usul ucapan dasar presiden di Perhimpunan Umno di PWTC, hari ini.

Ini menurutnya, bagi melindungi majoriti rakyat yang mahu hidup dalam aman damai.

Katanya jika sebelum ini ISA digunakan untuk menahan orang yang merancang dan mengetuai demostrasi jalanan maka ia mungkin boleh digunakan untuk menahan mereka yang dirasakan bertanggungjawab memesongkan pemikiran Melayu mengunakan Islam.

"Kita juga tidak mahu kerajaan yang mempunyai undi dua pertiga boleh ditumbangkan oleh demostrasi jalanan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,"tambahnya

"Kita sedar orang yang mengetuai demostrasi jalanan ini adalah orang-orang yang telah mengambil bahagian dalam pilihanraya tapi telah kecewa. Mereka ini pergi ke luar negeri berguru sekejap. Itulah jadinya apabila mereka mempraktikkan ilmu yang dibelajari diluar negeri dalam keadaan yang tidak sesuai, maka kita menerima akibat yang buruk," katanya.

Selain itu, menurut beliau, tindakan juga segera perlu diambil untuk menyekat penipuan dan tuduhan yang dilemparkan oleh PAS terhadap Umno.

"Masanya sudah sampai untuk Umno menjawab tuduhan-tuduhan orang Pas di Terengganu," katanya.

'Lancarkan jihad'

Sebelum itu, seorang lagi perwakilan daripada Terenganu Badaruddin Amirudin Umno mengesa dilancarkan jihad ke atas PAS selepas parti itu bersikap "seperti Yahudi yang sentiasa mencari jalan mahu memusnahkan umat Islam".

Menurut Badaruddin, jihad ke atas PAS itu perlu bagi menyekat penipuan dan tuduhan yang sering disebarkan parti pembangkang itu ke atas Umno.

Katanya, tindakan PAS mengkafirkan orang Umno juga menyebabkan Melayu berpecah-belah dan "jihad adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan orang Melayu serta Umno".


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS