Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga mahu Jabatan Penjara disiasat kes kematian tahanan
Diterbitkan:  Oct 1, 2016 6:06 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Keluarga tahanan reman, Azri Mohamed, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis awal bulan ini, mahu
Jabatan Penjara disiasat kerana didakwa menyebabkan kematiannya.

Ini selepas bedah siasat kedua yang diminta oleh ahli keluarga mendapati dia meninggal dunia akibat jangkitan Shigella, penyakit yang boleh dicegah dan dirawat, ketika sedang dalam tahanan reman di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Peguam keluarga itu, N Surendran dan T Naraendran, menggesa Ketua Polis Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya membuka siasatan jenayah di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan terhadap pihak berkuasa Penjara kerana menyebabkan kematian Azri kerana kecuaian.

Dalam satu kenyataan, Surendran dan Naraendran berkata keluarga itu mempertanggungjawabkan Menteri Dalam Negeri dan pihak berkuasa penjara atas kematian Azri, kerana keadaan yang tidak bersih yang menyebabkan dia mendapat penyakit itu dan kerana melambatkan menghantarnya untuk rawatan selepas dia menunjukkan tanda-tanda penyakit.

Bedah siasat kedua ke atas Azri bermula pada jam 11 pagi semalam dan selesai pada jam 4.30 petang.

Pasukan ahli patologi kemudian memaklumkan kepada keluarga dan peguamnya yang dapatan awal adalah bahawa kematiannya disebabkan oleh jangkitan Shigella, tertakluk kepada ujian lanjut yang sedang dilakukan ke atas sampel yang diambil dari badannya.

Shigella tak bawa maut

Peguam itu menjelaskan bahawa shigella adalah penyakit bawaan makanan dan air yang berkait rapat dengan salmonella.

Kedua-duanya boleh dicegah dan dirawat, dan disebabkan serta disebarkan oleh keadaan kebersihan yang teruk.

"Tiada siapa yang mati akibat jangkitan Shigella jika dirawat dengan betul," kata peguam itu.

Kedua-dua mereka berhujah bahawa kematian Azri kerana Shigellosis menimbulkan isu kritikal mengenai kesihatan dan kesejahteraan banduan di penjara Pengkalan Chepa dan seluruh negara.

Peguam keluarga itu berkata apabila kakak Azri melawat beliau pada 10 Ogos, dia sudah menunjukkan tanda-tanda penyakit yang teruk dan terpaksa dibantu oleh dua orang lain, yang menimbulkan persoalan mengapa dia tidak dihantar untuk rawatan awal.

Azri dimasukkan ke Hospital Kota Bharu pada 15 Ogos dan meninggal dunia pada 14 September; usus besarnya terpaksa dibuang oleh doktor yang merawatnya.

Keluarganya mahu menteri dalam negeri dan pihak berkuasa penjara supaya menerima tanggungjawab penuh dan liabiliti di atas kematian Azri berdasarkan fakta di atas dan penemuan perubatan.

Peguam berkata, keluarga itu juga berterima kasih kepada orang ramai atas sokongan dan simpati mereka sejak beberapa hari yang sukar.

[Baca berita penuh]


  

Lihat Komen
ADS