Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno gesa k'jaan batal kontrak syarikat dikaitkan BERSIH
Diterbitkan:  Oct 1, 2016 8:13 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii menggesa kerajaan membatalkan kontrak syarikat yang didakwa terlibat dengan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Mendakwa memiliki banyak bukti, Mohd Razlan berkata syarikat-syarikat berkenaan menikmati keuntungan daripada kestabilan negara dan kini mahu menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.

"Pada mana-mana pihak syarikat yang bergantung dengan kerajaan yang melibatkan diri dengan BERSIH patut diberhentikan kontrak mereka serta merta.

"Sekiranya mereka bersedia untuk turun berdemo, maka mereka juga patut bersedia sekiranya kontrak syarikat mereka ditamatkan," katanya pada kenyataan media hari ini.

Mohd Razlan berkata, pihaknya akan mengumpul data mereka yang terlibat dalam perhimpunan 'menjatuhkan kerajaan' yang dirancang pada 19 November depan.

Beliau juga memberi amaran kepada peserta BERSIH supaya bersedia 'menerima kesan' daripada tindakan mereka.

"Kerajaan persekutuan tidak perlu lagi berlembut dengan mereka yang terang-terangan mahu menjatuhkan kerajaan hari ini," katanya.

Malaysiakini pada 27 September lalu melaporkan Pemuda Umno mahu membuat laporan polis terhadap anak seorang jutawan dan proksi sebuah gergasi korporat yang didakwa terlibat dalam gerakan menjatuhkan perdana menteri.

Exconya Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, kedua-dua pihak itu dikatakan menjadi penaja untuk “gerakan” itu.

Bagaimanapun Armand membatalkan laporan polis sehari selepas itu kerana semakan yang dibuat mendapati maklumat itu tidak sahih.

Lihat Komen
ADS