Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengambil sikap untuk menghormati keputusan PAS untuk tidak menyertai himpunan anjurannya yang dijadualkan pada 19 November akan datang.
"Kami menghormati keputusan PAS dan tetap mengalu-alukan mereka (jika berubah fikiran)," kata Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah kepada Malaysiakini.
"Malah, PAS telah memaklumkan mengenainya sebelum kami mengumumkan berkenaan perhimpunan tersebut," tegas beliau sambil menambah bahawa komposisi kaum dalam acara itu tidak akan terjejas.
BERSIH melancarkan konvoi pertamanya pada Sabtu lepas bagi meningkatkan kesedaran mengenai himpunan tersebut. Sebanyak tujuh konvoi akan diadakan pada setiap hujung minggu di seluruh negara sehingga hari himpunan.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS memutuskan tidak menyertai himpunan BERSIH 5 walaupun pada prinsipnya menyokong matlamat asal gabungan itu.
Tambah Takiyuddin, BERSIH 5 mempunyai banyak matlamat lain yang dirasakan tidak selari dengan pendekatan parti Islam itu pada masa kini.
"Kita ada kaedah sendiri untuk menjadi pembangkang yang efektif di negara ini selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera yang di bawa Pas sekarang," kata beliau.
Namun, Takiyuddin berkata, ketetapan sama ada PAS akan membenarkan ahlinya menyertai himpunan itu secara peribadi belum diputuskan lagi.
BERSIH 4 sebelum ini dikritik kerana lebih didominasi oleh bukan Melayu ekoran ketiadaan PAS.
Mengulas lanjut, Maria berkata, gabungan itu masih berusaha untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan Melayu tetapi tidak menetapkan sebarang sasaran pada masa ini.
"BERSIH terus memberi tumpuan kepada tuntutannya dan mahu meningkatkan kesedaran," ujarnya.
Sementara itu, Maria berkata, BERSIH akan membuat laporan polis terhadap pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunus kerana didakwa menumbuk ahli pasukan konvoi BERSIH di Teluk Intan, petang semalam.
