Selepas berlaku kekecohan dan menjadi viral di media sosial Jabatan Perhutanan Kelantan hari ini mengarahkan operasi pembalakan di Pos Gob, Gua Musang dihentikan sementara.
Memetik kenyataan pengarah perhutanan negeri Zahari Ibrahim Berita Harian melaporkan arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta dan akan ditarik balik selepas kemelut yang berlaku dapat diselesaikan.
"Perkara itu diputuskan selepas Jabatan Perhutanan Kelantan mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri hari ini," lapor media itu.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan polis akan menyiasat kekecohan melibatkan sekumpulan masyarakat Orang Asli dan pembalak di Gua Musang pada 28 September lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata setakat ini pihaknya menerima satu laporan masing-masing daripada pihak pembalak dan kumpulan Orang Asli berkenaan.
Kumpulan Orang Asli dilapor membuat sekatan bagi menghalang pengeluaran balak di kawasan mereka. Pembalak kemudian bertindak merobohkan sekatan tersebut sehingga mencetuskan kekecohan antara kedua-dua belah pihak.
Rakaman video insiden itu kemudian tersebar meluas di media sosial.
Sementara itu Penasihat Persatuan Pembalak Negeri Kelantan, Datuk Roshaimi Razak mendakwa aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Balah, Gua Musang dilakukan secara sah setelah mendapat kebenaran kerajaan Kelantan dan tidak melibatkan kawasan petempatan Orang Asli.
Justeru katanya masyarakat Orang Asli di kawasan itu diminta tidak menghalang syarikat konsesi terbabit mengeluarkan kayu balak.
Roshaimi juga berkata Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn Bhd telah diberi konsesi oleh kerajaan negeri bagi pengeluaran kayu balak di kawasan tersebut.
"Oleh itu pengeluaran balak di kawasan ini adalah sah," katanya.
Zahari berkata pemberhentian operasi membalak di dua kawasan membabitkan keluasan masing-masing 239 hektar dan 404 hektar.
"Keputusan ini diambil kerana kita mengambil kira aspek keharmonian dan tidak mahu masalah itu berlarutan.
"Kita akan memikirkan cara untuk mengeluarkan hasil balak supaya tidak mengalami kerugian besar," katanya dipetik portal Berita Harian.
