Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN akan menang besar pada PRU14, kata VC Unisel
Diterbitkan:  Oct 3, 2016 4:43 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang pernah menjawat kerusi Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu berkata, ramalan tersebut berdasarkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ini.

"Sejarah menunjukkan bahawa setiap kali dibuat persempadanan, BN akan mencatat kemenangan besar. Kemenangan yang dicapai BN pada 2004, kebanyakan orang anggap bersebab dengan faktor Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) semata-mata.

"Sebenarnya tidak. Pak Lah hanyalah salah satu faktor.

"Pada PRU 2004, banyak kerusi yg dimenangi pembangkang dalam PRU 1999 dirampas semula oleh BN bukan kerana faktor Pak Lah. Sebaliknya kerana persempadanan semula," ujarnya, memetik wawancara yang diadakan bersama Sinar Harian.

Baru-baru ini, susulan kritikan pada syor persempadanan semula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan pihak berkelayakan dalam bidang perundangan agar membuat bantahan.

Bantahan patut dibuat pada masa ditetapkan dan "bukannya membuat tuduhan melulu" terhadap badan itu, kata Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

"SPR mengalu-alukan setiap bantahan dan representasi, namun begitu ia perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan yang ditetapkan," katanya.

Syor persempadanan semula yang dikeluarkan didakwa hanya memberi kelebihan kepada Umno.

Ia dikatakan boleh mengurangkan kerusi campuran akibat peralihan pengundi, meningkatkan majoriti Melayu dan mengurangkan perwakilan bukan Melayu di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohammad Redzuan berkata, pada PRU 2004, ramai orang Melayu memihak kepada pembangkang berikutan peristiwa mata lebam.

"Orang Cina pula solid kepada BN. Persempadanan 2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu pada nisbah 60:40 atau 55:45. Ini membawa kepada banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung.

"Pada pilihan raya 2008, kawasan campuran memihak kepada pembangkang (BN tewas). Jadi persempadanan yang baharu ini perlu dibuat mengikut kelompok. Kaum Cina satu kelompok, Melayu satu kelompok," jelasnya.

Apa yang sedang berlaku ini, ujar beliau, boleh dianggap seperti satu penyelewengan dan jenis penipuan yang dihalalkan.

"Mereka menang dengan cara yang tidak gentleman. Saya yakin majoriti rakyat mendukung amalan demokrasi, mereka terima siapa yang mendapat mandat rakyat, satu undi menang pun kena terima, itu kematangan demokrasi tetapi biarlah dengan cara yang baik," tambah beliau.

Mengenai tempoh berkempen, beliau menambah, aspek itu juga terbukti menentukan keputusan PRU.

"Antara ‘kesilapan’ besar Pak Lah ialah membenarkan kempen 13 hari pada PRU 2008. Zaman Mahathir, hanya sembilan hari sahaja berkempen dalam PRU 1999. Kalau tempoh berkempen dalam PRU ini dibenar dua minggu, kerajaan Mahathir boleh tumbang pada waktu itu.

"Pada 2008, dari segi undi popular, kajian menunjukkan sebanyak tiga peratus sokongan untuk BN menurun setiap hari pada minggu kedua kempen. Kalau kempen pilihan raya 2008 dibuat selama 16 hari, BN hilang lebih banyak kerusi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS