Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Hujan renyai-renyai sekadar menambahkan rasa dingin subuh di bandar Alor Setar, Kedah hari itu.

Sedikit menggeliat untuk membetulkan urat-urat dan memulihkan otot badan pasangan suami isteri itu selepas melalui perjalanan kira-kira enam jam menaiki bas dari Hentian Duta di Kuala Lumpur.

Biasanya tempat pertama dituju mereka ialah surau sebuah sekolah agama yang terletak berhadapan dengan Penjara Alor Setar. Di situ mereka menunaikan solat Subuh dan menanti siang bermula.

Abdul Rahman Abdul Hamid dan isterinya Siti Aishah Itam akan berada di situ sehingga jam 8 pagi.

Itulah rutin mingguan mereka selalunya. Tujuan pasangan itu cuma satu - melawat anak lelaki mereka yang kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Anak mereka - Mustaza - ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dengan pengganas IS.

Ketika ditemui Malaysiakini tidak banyak kata-kata yang keluar dari mulut Siti Aishah berbanding air matanya.

Kata Siti Aishah apabila bertemu Mustaza dia hanya akan lega apabila melihat keadaan anaknya itu sihat dan dalam keadaan baik.

“Biasanya kalau jumpa, mak cik akan menangis, dia pun akan menangis tak henti-henti.

"Lama kelamaan mak cik lihat dia semakin baik dan boleh kawal emosi," katanya.

Nasihat ibu

Dan sebagai seorang ibu tentu banyak nasihat yang disampaikan kepada anaknya itu.

“Setiap kali jumpa, selain bertanya khabar, mak cik suruh dia sembahyang, baca al-Quran selalu, bersabar dan berdoa sentiasa,” katanya.

Menceritakan kehidupannya Siti Aishah berkata penahanan Mustaza adalah antara pengalaman paling perit dirasai sepanjang usianya 63 tahun.

Namun sebagai orang Islam Siti Aishah tetap reda dengan takdir Ilahi dan terus berharap Mustaza dibebaskan sebelum dia menutup mata selama-lamanya.

“Sejak dapat panggilan telefon memberitahu dia ditangkap, mak cik berdoa tak henti-henti sebab mak cik yakin dia dianiaya. Setiap kali teringat dekat dia makcik mesti menangis,” katanya sambil mengelap air mata.

Sejak Mustaza, 29, ditahan akhir Jun lalu pasangan suami isteri terbabit sudah 16 kali ke Alor Setar menaiki bas.

Rutinnya itu memerlukan mereka berbelanja kira-kira RM300 untuk perjalanan pergi dan balik.

Sebagai persediaan seminggu sebelum pergi dia dan suaminya membuat persiapan awal. Misalnya mengemas kain, telekung, baju, ubat gigi dan berus gigi.

Wang pencen

Sementara itu, Abdul Rahman berkata kebiasaannya mereka bertolak dari Hentian Duta kira-kira jam 11.30 malam dan tiba di ibu negeri Kedah itu pada jam 5 pagi.

Selepas pertemuan berakhir kata Abdul Rahman mereka akan menaiki bas sekali lagi kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk kembali ke Kuala Lumpur.

"Biasanya kami tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 7 malam," kata bekas anggota polis itu.

Ditanya sama ada rutin itu melelahkan, Abdul Rahman, 62, berkata demi anak keempat daripada enam beradik itu mereka tidak berasa terlalu penat.

“Itu yang kami buat sekarang. Kami tak rasa penat demi Mustaza.

"Kadang-kadang semasa tiba di Alor Setar, hujan pada waktu subuh, sejuk, tapi apalah,” katanya.

Menurut Abdul Rahman dia bernasib baik kerana wang pencen yang diterima sedikit sebanyak membantu memenuhi keperluan perjalanan mingguan mereka itu.

Di akhir temu bual pasangan itu tetap menaruh harapan untuk melihat Mustaza dibebaskan segera.

"Anak Mustaza terlalu rindukan ayahnya. Dia selalu kurang sihat," katanya.

Abdul Rahman berkata demikian merujuk kepada cucu perempuannya yang baru berusia dua tahun.

"Kalau dia nak jumpa ayahnya, kena buat surat, hantar kepada ketua polis daerah. Kalau dibenarkan, baru dapat jumpa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS