Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta mengkaji semula permit serta mengawal penerbitan akhbar Harakah yang diterbitkan oleh parti pembangkang PAS.
Menurut wakil pergerakan Wanita Umno Kubang Kerian, Hajjah Zaleha Hussin, walaupun Harakah kini sepatutnya terhad untuk ahli parti tersebut sahaja, akhbar itu masih dijual secara berleluasa.
"Semakin akhbar itu dikawal semakin berleluasa ia dijual. Malah ia dijual oleh penjual Cina and India. Adakah mereka itu ahli PAS?," kata beliau semasa perbahasan usul agama di Perhimpunan Agung Umno hari ini, yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Beliau juga menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyekat penyebaran fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS.
Menurutnya, terlalu banyak fatwa yang dikeluarkan oleh PAS yang boleh dianggap mempunyai kepentingan sendiri.
Kata beliau lagi, fatwa itu dibuat secara individu, sehingga ada yang sanggup mengetepikan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
"PAS keluarkan fatwa hari hari. Kalau disenaraikan hari ini, perwakilan dalam dewan ini semua tak balik," hujah Zaleha.
Bidaah PAS
Beliau juga mencadangkan supaya penderhaka dalam kerajaan yang didapati mencetuskan perpecahan dalam perpaduan rakyat dan orang Islam sepatutnya dihukum bunuh.. Ini, menurutnya, ada dinyatakan dalam hadis.
Sementara itu seorang lagi wakil Pemuda dari Terengganu Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata ulamak tidak boleh menjadi pemimpin kerana ulamak dan pemimpin mempunyai peranan yang berlainan.
Menurut beliau lagi, sekiranya para ulamak dibiarkan menjadi pemimpin, mereka akan menyalahgunakan jawatan mereka untuk kepentingan sendiri dan untuk memenangi pilihanraya.
"Pertubuhan atau gagasan pimpinan ulamak tidak ada dalam Islam. Ianya hanya bidaah sahaja oleh Pas."
Justeru itu, tambah Wan Farid, kerajaan perlu meningkatkan kegiatan penerangan bagi menjelaskan kekeliruan tersebut.
