HSBC Global Research menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan memotong kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 2.75 peratus pada mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari tahun ini pada 23 November 2016.
Pakar Ekonominya, Lim Su Sian berkata, dengan aktiviti ekonomi terus lembap dan pertumbuhan pinjaman mencatat paras terendah dalam tempoh beberapa tahun, terdapat keperluan segera untuk BNM melaksana dasar yang bermakna dalam kitaran menurun ini.
"BNM mempunyai ruang untuk satu lagi pemotongan 25 mata asas tahun ini, tetapi skop untuk pengurangan lebih daripada itu nampaknya terhad, terutama berikutan jangkaan yang Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar sasaran dana pada pertengahan 2017," katanya dalam Laporan Kajian Global Mengenai Ekonomi Asia oleh HSBC.
Menurutnya, risiko pengaliran keluar modal juga menjadi lebih penting kerana lebihan akaun semasa telah berkurangan dengan banyak berbanding jangkaan HSBC tahun ini, mencecah hanya 1.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada separuh pertama 2016.
"Kami dengan itu menurunkan ramalan akaun semasa 2016 dan 2017 kepada 1.2 peratus dan 1.5 peratus daripada KDNK berbanding anggaran sebelum ini masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 2.8 peratus," katanya.
Sementara itu, Lim berkata, kerajaan akan menghadapi kekangan fiskal yang sama pada 2017, dengan bajet yang akan dibentangkan pada 21 Oktober 2016 dijangka mengandungi langkah terhad yang sama untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebagaimana bajet 2016.
Bagaimanapun, ekonomi Malaysia tidak musnah, tetapi aktiviti terus lemah berikutan pilihan dasar yang terhad bagi merangsang pertumbuhan, katanya.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan ramalan pertumbuhan 2016 dan 2017 kami masing-masing pada empat dan 3.8 peratus dan kami mengunjurkan KDNK 2018 akan berkembang empat peratus," kata Lim.
Mengenai prospek ekonomi Asia tahun ini, laporan itu berkata, pertumbuhan masih stabil, mungkin tidak pada tahap tinggi yang dialami rantau ini sejak berdekad lalu, tetapi sangat berdaya tahan.
Menurutnya, rangsangan di China bagi meningkatkan hartanah dan infrastruktur, telah membantu menstabilkan output di sebahagian besar rantau ini.
Laporan itu berkata, Vietnam telah kembali pulih daripada kelembapan disebabkan kemarau pada separuh pertama tahun ini.
"Singapura, sementara itu, keluar daripada kelemahan dalam permintaan luaran dan menunggu pemulihan global dengan sabar," katanya.
- Bernama
