S'wak Report: RM3.4 juta tunai dimasukkan ke akaun Najib

   

Dalam dakwaan terbaru, portal pendedah maklumat, Sarawak Report melaporkan bahawa wang tunai berjumlah RM3.4 juta disalurkan ke dalam dua akaun Ambank yang dimiliki oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Februari dan Mac, 2015.

Memetik kebocoran maklumat siasatan, ia mendakwa akaun berkenaan diuruskan oleh bekas Pengarah Urusan, SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

Nik Faisal adalah penandatangan untuk akaun berkenaan, dakwa Sarawak Report dalam e-mel.

Ini susulan kenyataan Pejabat Peguam Negara Switzerland yang berkata ia sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan AS$800 juta membabitkan firma milik negara, SRC International, yang adalah bekas anak syarikat 1MDB.

Editor, Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown yang berpangkalan di London, mendakwa berdasarkan penyata bank perdana menteri, semua deposit itu mungkin dibuat secara tunai.

Seorang pegawai bank yang dirujuk oleh Sarawak Report tetapi dinamakan berkata beliau percaya bahawa wang tunai itu dibawa ke bank dengan beg dan dimasukkan ke dalam akaun secara terus supaya tidak meninggalkan sebarang jejak.

Deposit yang terbesar adalah RM1.5 juta, katanya.

Sarawak Report juga menerbitkan salinan penyata bank, tetapi Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihannya atau menerbitkannya semula kerana ini akan melanggar undang-undang perbankan.

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan Ambank berhubung dakwaan itu. Setiuasaha Akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad juga telah dihubungi untuk mendapatkan komen.

Nik Faisal adalah pengurus pelaburan untuk 1MDB, sebelum berkhidmat dengan SRC International. Beliau juga pengurus pelaburan di UBG yang dikaitkan dengan Jho Low.

Menurut carta aliran yang didedahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang akhbarnya pada Januari, firma milik UBG menyalurkan dana dari SRC International ke dalam akaun Ambank kepunyaan Najib.

Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung dana RM2.6 bilion dan RM42 juta dijumpai di dalam akaunnya.

Beliau menjelaskan bahawa Najib tidak tahu bahawa wang dari SRC International disalurkan ke dalam akaunnya dan menyangkakan wang itu adalah sebahagian daripada AS$681 juta - yang Najib berkata adalah sumbangan dari ahli keluarga diraja Saudi.

Najib secara konsisten menafikan beliau menyalahgunakan dana awam, dan menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya bersepakat untuk menumbangkannya.

Rewcastle-Brown juga dikaitkan dengan Mahathir, dan Sarawak Report didakwa menerima dana untuk melaksanakan kempen memburuk-burukkan Najib. Editor laman web itu menafikan tuduhan berkenaan.

Selain Sarawak Report, kerajaan juga telah menuduh akhbar Wall Street Journal yang berpangkalan di Amerika bersekongkol dengan seteru Najib.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda