Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Gerakan mahu tindakan terhadap dalang 'parang terbang'

Asli atau palsu Pemuda Gerakan berharap polis tetap menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat ekoran kenyataan mengenai 13 Mei dan "parang terbang" pada akaun Facebook dikaitkan dengan Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Naib Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong berkata walaupun pemimpin kumpulan baju merah itu mengeluarkan kenyataan mendakwa status berkaitan dipalsukan siasatan perlu dijalankan.

"Kami difahamkan Datuk Jamal semalam berkata Facebook beliau telah dipalsukan.

"Justeru itu kami memohon Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat sama ada benar atau tidak Facebook tersebut telah dipalsukan," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu Yong bersama beberapa pemimpin pemuda parti berkenaan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar didakwa membuat kenyaaan berbau ugutan dalam Facebook di bawah nama "Dato Jamal Yunos".

 

 

Diiringi sekeping gambar menunjukkan Jamal berucap di depan sekumpulan orang berbaju merah, status itu menyatakan: "Saya berjanji Tragedi 13 MAY akan berulang dan PARANG TERBANG akan terjadi jika BERSIH 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat sama dengan perhimpunan #BERSIH5 yang dijadualkan pada 19 November ini. Hidup Melayu!"

Tarikh 13 Mei itu merujuk kepada insiden rusuhan kaum yang berlaku di beberapa lokasi di negara ini - khususnya di Kuala Lumpur - selepas pilihan raya umum ketiga pada 1969.

Keputusan menunjukkan Perikatan kehilangan penguasaan mutlak di Dewan Rakyat dan beberapa negeri. DUN Kelantan dan Pulau Pinang masing-masing dimenangi PAS dan Gerakan.

Istilah "parang terbang" pula merujuk kepada mitos popular di kalangan masyarakat setempat kononnya wujud senjata lama Melayu terbang sendiri mencari sasaran, terutama masyarakat Cina.

Yong berkata Pemuda Gerakan juga berharap tindakan dikenakan mengikut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan ke atas mana-mana pihak yang bertanggungjawab memuat naik status berkenaan.

"Ini adalah kerana komen-komen yang dinyatakan itu amat serius," katanya.

Malam tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan kenyataan berkenaan dianggap menghasut dan tidak boleh diterima.

Beliau juga mengarahkan tindakan tegas dan segera diambil bagi menanganinya.

Ekoran Twitter Khalid itu Jamal kemudian memuat naik status baru di Facebook mendakwa kenyataan 13 Mei itu dipalsukan pihak tertentu.

Jamal turut menuding jari kepada DAP sebagai dalang kepada status berkenaan.

Sementara itu Yong juga berharap polis mengambil tindakan ke atas pihak yang mencetuskan kekecohan semasa konvoi BERSIH 5 bergerak dari Teluk Intan ke Sabak Bernam, serta di Gurney Drive di Pulau Pinang pada Sabtu lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS