Kawasan yang dulunya menjadi lokasi pembalakan perlu ditanam semula dengan pokok hutan bagi mengurangkan risiko banjir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau berkata langkah itu sekali gus dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan Persekutuan bagi membina tebatan banjir di kawasan hilir sungai.
"Tebatan banjir sangat mahal berbanding penanaman semula pokok hutan di kawasan bekas pembalakan berlaku. Pokok hutan ternyata mampu menahan aliran deras air hujan berbanding getah ataupun sawit yang ditanam di kawasan bekas pembalakan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Awam Menghadapi Bencana Gua Musang sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Pusat Sivik Gua Musang hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi NADMA Zainal Azman Abu Seman, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Seri Ahmad Puzi Abdul Kahar dan Timbalan Ketua UMNO Gua Musang merangkap
Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh Datuk Nozula Mat Diah.
Dalam pada itu, Shahidan turut menawarkan khidmat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memantau kegiatan pembalakan haram secara berleluasa yang berlaku di sesuatu negeri.
Menurutnya, pejabat daerah tidak mampu untuk menguatkuasakan undang-undang kerana kekangan kakitangan selain kawasan yang diteroka terlalu luas.
"Saya yakin berlakunya penerokaan tanah secara haram yang terlalu luas sehingga tidak dapat dikawal sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
"MKN boleh tolong mana-mana negeri yang kekurangan penguatkuasa untuk bantu mereka menguatkuasakan undang-undang seperti yang telah kita lakukan di Cameron Highlands, Pahang," katanya.- Bernama
