Kerk: terlalu awal untuk putuskan pertahan jawatan tim presiden
Timbalan Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Kerk Choo Ting berkata adalah terlalu awal baginya untuk memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan nombor dua dalam parti itu ketika rundingan mengenainya masih berjalan di kalangan pemimpin parti.
Timbalan Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Kerk Choo Ting berkata adalah terlalu awal baginya untuk memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan nombor dua dalam parti itu ketika rundingan mengenainya masih berjalan di kalangan pemimpin parti.
"Saya dinasihat agar tidak menyatakan apa-apa tetapi kita boleh menjangkakan pemilihan parti secara demokratik dan aman".
"Kini bukan masanya, rundingan masih berjalan ... itu proses biasa," katanya dalam temubual dengan Bernama di sini.
Kerk ditanya sama ada terdapat rundingan tertutup antara beliau dengan pemimpin-pemimpin lain dalam Gerakan bagi menyelesaikan isu pertandingan merebut jawatan dalam pemilihan parti Ogos ini.
Terdapat spekulasi bahawa Kerk, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang juga bekas tokoh pendidikan Cina, akan dicabar jika beliau memutuskan untuk mempertahankan jawatan itu.
Ahli-ahli parti itu dilaporkan lebih menyukai naib-presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk mengisi jawatan nombor dua itu.
Dr Koh enggan mengulas
Ini kerana mereka ingin melihat Dr. Koh sebagai pemimpin baru mereka untuk menerajui parti pelbagai kaum itu berikutan kenyataan presiden Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang beliau tidak akan terus menduduki jawatan itu "selepas 2008".
Bagaimanapun, Dr Koh, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dilihat sebagai calon yang keberatan mencabar Kerk. Kedua-dua Dr Koh dan Kerk terlibat dalam gerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, pada tahun 1970-an.
Selaku naib-presiden kanan Gerakan, Dr Koh dilihat sebagai pengganti berkebolehan tetapi beliau sering mengelak membuat kenyataan umum mengenai perkara itu.
Sebaliknya, kata Dr Koh beliau serahkan kepada media membuat spekulasi.
Ditanya bila rundingan itu bermula, Kerk berkata: "Ia sedang berjalan dan sesuatu yang biasanya dilakukan oleh mana-mana parti politik".
Beliau juga enggan menyatakan pemimpin-pemimpin yang terbabit tetapi Bernama difahamkan mereka terdiri daripada pemimpin peringkat pusat dan negeri.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.