Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Posting parang terbang, BERSIH buat laporan polis

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berhubung dakwaan posting oleh pemimpin gerakan ‘baju merah’ Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Ia berhubung dakwaan amaran tentang 'parang terbang' dan ‘rusuhan 13 Mei’ jika kumpulan reformasi pilihan raya itu meneruskan perhimpunan BERSIH 5.

Cerita 'parang terbang’ merujuk ilmu sihir yang mampu membuatkan parang berterbangan sendiri dan mencari serta memenggal kepala orang Cina semasa tragedi perkauman 1969.

“Saya ingin membuat satu laporan polis ke atas Jamal Yunus, ketua Umno Bahagian Sungai Besar yang telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan niat untuk mencetuskan huru hara.

“Jamal Yunus telah dengan jelas mengatakan di dalam wall Facebook beliau dan berjanji yang tragedi 13 Mei akan berulang dan parang terbang akan terjadi jika BERSIH 5 yang dijadualkan diadakan pada 19 November depan.

“Beliau jelas cuba ugut dan porak-perandakan negara ini untuk mengajak pasukannya berperang. Kenyataan beliau itu juga secara jelas telah memberi kata putus untuk memulakan perang dengan Agong kerana ingin mencetuskan huru hara dengan jelas,” kata Maria kepada pemberita di luar balai polis hari ini.

Menurut Maria, beliau yakin polis akan bertindak mengikut undang-undang dan menyiasat aduannya itu.

Katanya, ini adalah laporan polis yang kelapan dibuatnya terhadap Jamal berhubung perkara itu dengan tujuh laporan lain dibuat di Johor Baru, Kluang, Kota Kinabalu, Kuantan, Brickfields dan Kelantan.

Apabila diberitahu bahawa Jamal mendakwa posting Facebook itu bukan dibuat olehnya dan dilakukan oleh pihak ketiga, Maria berkata, terpulang kepada pihak polis untuk menyiasat kebenarannya.

“Bagi polis siasat, kita tidak tahu siapa dia, dan kalau bukan dia bagus. Tetapi kalau dia, polis perlu ambil tindakan.

“Kita tidak boleh terima orang yang menghasut seluruh negara dengan 13 Mei. Kita tak nak politik perkauman, kita mahu negara ini aman dan damai. Apa yang BERSIH tuntut adalah untuk pilihan raya yang bersih dan aman.

“Yang flying kick itu, orang boleh mati,” katanya merujuk kepada kejadian Sabtu lalu di mana seorang peserta BERSIH, Kusaini Kassim, disepak dan diterajang oleh penyokong baju merah di Sabak Bernam.

Lihat Komen
ADS